Dari Blog DIRECT FREE KICK 1 April 2009*. SETAHUN TELAH BERLALU - TopicsExpress



          

Dari Blog DIRECT FREE KICK 1 April 2009*. SETAHUN TELAH BERLALU - BAHAGIAN 5 ( BAHAGIAN AKHIR ) Saya tidak ingat apa yang saya lakukan pada 9 Mac kecuali ke rumah ibu saya di Taman Seri Keramat. Dia memberitahu saya supaya jangan suka sangat, kemenangan ini adalah satu tanggungjawab yang besar. Tugas pertama saya selepas itu adalah membuka sebuah pusat khidmat ADUN. Kami memang ada sebuah pusat khidmat di nombor 20, Jalan H, Kg. Pandan. Berkongsi premis dengan Markas PAS Kawasan Pandan. Tetapi setelah beberapa kali dibuka, kami merasakan ianya kurang sesuai kerana mengganggu aktiviti-aktiviti Parti. Kami pun mengambil keputusan untuk berpindah ke Taman Angsana Hilir. Sebelum pilihanraya kami telah membeli sebuah pangsapuri di blok rumah kedai di taman itu. Kami membelinya kerana ia berhadapan dengan MRR2, sekurang-kurangnya kami dapat menaikkan papan tanda dan mempromosikan PAS. Dalam masa lebih kurang setahun kami dapat mengumpul wang dari ahli-ahli dan penyokong-penyokong untuk membelinya secara tunai. Begitu hebat ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS. Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac. Kami di bawah tidak tahu apa yang berlaku di peringkat atas. PAS Selangor tidak mengadakan mesyuarat Perhubungan sejurus selepas pilihanraya. Hanyalah selepas itu kami mendapat tahu ada pertemuan di antara Dato Hasan Ali dan Haji Khalid Samad dengan Menteri Ber Selangor yang baru sahaja hilang kuasa, Dato Seri Mohammad Khir Toyo. Saya tidak tahu apa yang dibincangkan atau kenapa pertemuan itu diadakan. Di dalam satu sidang akhbar sebelum pembentukan kerajaan, pertemuan dengan Khir Toyo telah dibangkitkan oleh para wartawan. Dato Hasan memberikan satu versi dan Khalid memberikan satu versi yang berlainan. Mereka bercanggah. Wartawan kebingungan. Dari saat itu saya nampak PAS akan menghadapi masalah yang besar di Selangor. Ada satu kapal tetapi dua nakhoda. Adalah tidak adil untuk mengatakan Dato Hasan berjumpa Khir Toyo sebab mahu menjadi Menteri Besar tanpa juga mengandaikan Khalid hadir di dalam pertemuan itu kerana mahu menjadi Menteri Kabinet. Hanya Dato Hasan yang dibelasah hingga ke hari ini kerana berjumpa dengan Khir Toyo tetapi Khalid terlepas dari nasib yang sama. Menghairankan kerana Khalid yang mempunyai link dengan UMNO melalui abangnya Dato Shahril Samad. Kalau tidak silap saya, Khalid juga pernah berkata beliau adalah sepupu kepada Dato Najib Razak. Dato Hishamuddin Hussin juga dikatakan bersepupu dengan Dato Najib. Pening? Tidak perlulah kita membincangkannya dengan lebih lanjut. Ada banyak lagi kerja yang lebih bermanfaat. Walau bagaimanapun pada saya tidak ada sebab kenapa kita perlu bertemu dengan orang yang baru kita kalahkan. Orang yang selama ini menghentam dan membelasah kita. Kenapa kita perlu mencampakkan pelampung kepada beliau? Biarkan dia tenggelam dengan labu-labunya. Tetapi perkara tersebut tidak mengganggu pemikiran saya kerana saya cukup berpuas hati dengan kemenangan di Chempaka dan tidak mimpikan untuk menjadi Exco. Saya hanya mahu menjadi seorang wakil rakyat seperti Lee Lam Thye. Idola saya kerana saya dibesarkan di Kuala Lumpur maka oleh itu tidak mengenali pemimpin PAS malah tidak mengenali PAS sehingga saya melanjutkan pelajaran ke UK. Apabila saya dijemput ke satu mesyuarat di rumah Dato Hasan untuk membincangkan perlantikan Exco, saya agak keberatan untuk hadir. Tanpa disengajakan, saya tersesat jalan dan tidak sempat hadir. Walau bagaimanapun isteri saya yang bersama saya ketika itu berkata saya memang sengaja hendak sesat. Walau bagaimanapun beberapa hari selepas itu, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor, Haji Yusuf Ludin, menelefon saya memberitahu bahawa nama saya akan dihantar kepada Presiden PAS untuk dicalonkan sebagai Exco. Saya memberitahu saya tidak mahu tetapi beliau berkata terima sajalah. Saya yakin ada ADUN lain yang lebih berminat menjadi Exco. Satu perkara yang pelik telah berlaku selepas itu. Ada orang luar yang menelefon saya agar memberi laluan kepada ADUN tertentu. Mungkin beliau tidak mengetahui saya sudah hampir 20 tahun di dalam politik dan saya boleh membuat keputusan saya sendiri. Tidak perlu dipujuk-pujuk seperti budak tadika. Tetapi saya telah menghantar SMS kepada Dato Hasan menyatakan saya tidak mahu menjadi Exco walau bagaimanapun beliau tidak menjawab. Untuk memendekkan cerita, akhirnya saya mendapat telefon dari Haji Yusuf memberitahu bahawa saya di antara yang dipilih oleh Presiden. Tetapi akhbar-akhbar masih belum mengetahuinya. Mereka menelefon saya, mahu saya meramalkan siapa dari PAS yang akan menjadi Exco. Saya memberi nama-nama sperti Dato Hasan, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Halimah Ali dan Saari Sungib kepada mereka. Sebagai salah seorang Timbalan Pesuruhjaya saya sepatutnya dipilih menjadi Exco berdasarkan seniority dalam Parti. Memang saya pernah memberitahu isteri saya dan mesyuarat AJK Kerja PAS Kawasan Pandan bahawa saya kemungkinan dilantik Exco tetapi hati berasa berat untuk menerimanya. Tetapi kenapa akhirnya saya menerima perlantikan Exco? Mungkin saya tidak ada pilihan lain apabila dipanggil menghadiri raptai majlis angkat sumpah di Istana Alam Shah, Kelang. Saya mendapat panggilan telefon dari Haji Yusuf beberapa jam sebelum solat Jumaat untuk hadir di Istana Alam Shah di Klang jam 3.00 petang. Tidak mungkin menolak setelah hadir di Istana. Ia akan mengundang kemurkaan Tuanku dan sudah tentu akan memalukan PAS. Panggilan telefon itu saya terima selepas melawat sebuah sekolah untuk anak-anak pelarian Rohingya di Kg Cheras Baru. Semasa lawatan seorang Ustaz di sekolah tersebut, Ustaz Abdul Aziz, telah menghadiahkan saya satu set tali leher, seingat saya 7 atau 8 helai. Saya memberitahu beliau saya tidak suka memakai tali leher tetapi beliau berkata saya akan memerlukannya. Satu kebetulan? Jadi kenapa akhirnya saya menerima perlantikan itu? Sebelum pilihanraya, ketika satu mesyuarat Perhubungan, saya tiba-tiba sedar hanya saya dan Ustaz Fazlin Taslimin yang tinggal dari AJK Perhubungan Negeri Selangor ketika saya mula-mula menganggotainya dalam tahun 1993. Tiada lagi Tuan Guru Haji Ismail Hashim, Tuan Guru Haji Salleh, Ustaz Abdul Razak Dawami, Haji Mohsinon Tahir, Haji Ibrahim Omar, Cikgu Khusrin Rahmad dan ramai lagi orang-orang lama. Ketika itu pejabat PAS Selangor adalah bangunan separuh papan di Sementa. Mungkin saya menerima perlantikan Exco ini untuk mereka, sebagai penerusan kepada perjuangan mereka. Saya merasakan saya mewakili mereka. Sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Saya menerima perlantikan Exco untuk Tuan Guru Haji Ismail Hashim dan rakan-rakan seangkatan dengan beliau. Mungkin tidak ramai orang PAS di Selangor hari ini yang kenal akan beliau. Selain dari itu kali terakhir budak kolek (bekas pelajar MCKK) berada di dalam barisan kepimpinan Negeri Selangor adalah Tan Sri Abu Hasan Omar yang digulingkan dari jawatan Menteri Besar dalam tahun 2000. Kami budak kolek ketika di MCKK memang dibrainwash bahawa kami satu hari akan memimpin negara. Dengan budak-budak kolek seperti Tun Abdul Razak dan ramai lagi yang telah menjadi Menteri Kabinet, tidak hairan ada ramai yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Setiap minggu kami akan menyanyikan lagu sekolah di mana rangkap terakhirnya adalah, Keluar memimpin negara, maju terus mara. Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin negara. Cita-cita saya di sekolah adalah untuk menjadi pemain bolasepak profesional bersama Liverpool seperti Kevin Keegan walapun saya tidak berapa pandai bermain bola. Tetapi apabila ditawarkan menjadi Exco, terasa tanggungjawab untuk menebus kembali nama MCKK di Selangor setelah Tan Sri Abu Hasan dimalukan 8 tahun sebelumnya. Raptai selepas solat Jumaat berjalan lancar. Ketika raptai kami diajar untuk berjalan, berdiri, duduk, mengangkat sembah dan mengangkat sumpah. Kami diarah untuk memakai baju Melayu hitam. Entah macam mana saya telah tergerak hati untuk menempah sepasang baju Melayu hitam setelah menang di Chempaka. Satu kebetulan lagi? Pada mulanya saya tidak dapat masuk ke balairong seri kerana tidak memakai songkok. Nasib baik ada songkok yang disediakan untuk dipinjam. Itulah kali pertama saya masuk ke sebuah balairong seri. Hanya di raptai itu, kami tahu siapa yang akan dilantik menjadi Exco. Ternyata spekulasi-spekulasi akhbar tidak begitu tepat. Walaupun ada ramalan-ramalan yang tepat. Angkat sumpah adalah pada hari Isnin berikutnya. Di antara hari Jumaat dan Isnin, saya mendapat panggilan-panggilan mengucapkan tahniah dan ada yang mengatakan saya akan menjaga portfolio Kerajaan Tempatan. Saya pun tidak tahu, bagaimana mereka tahu? Hanyalah pada Ahad malam, saya mendapat SMS dari Tan Sri Khalid memberitahu beliau akan menelefon saya untuk membincangkan portfolio saya. Oleh itu, menerusi telefon, Menteri Besar memberitahu saya akan menjaga Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan dan bertanya adakah saya bersetuju. Saya telah menyatakan persetujuan kerana ianya memang bidang saya walaupun sebelum itu saya pernah merasakan potfolio Infrastruktur sesuai untuk saya. Saya telah pergi ke majlis mengangkat sumpah bersama isteri dengan kereta Haji Hashim Johari. Beliau telah memandu kami. Majlis angkat sumpah dan sidang akhbar berjalan tanpa masalah. Hanya apabila ditemuramah saya merasa teragak-agak untuk menjawab. Saya tidak boleh sesuka hati menjawab kerana saya sekarang akan bercakap mewakili sebuah Kerajaan Negeri bukan mewakili diri saya. Pada keesokan harinya, satu pertemuan di kalangan Exco-Exco telah diadakan di bilik mesyuarat khas Exco, tingkat 20 Bangunan SUK. Kami diberitahu dress code mesyuarat Exco adalah suit tetapi saya tidak ada kot yang sesuai. Kot yang baru ditempah, belum lagi siap. Maka selepas mesyuarat saya telah ke Sogo. Di sana saya terjumpa Dato Saifuddin Abdullah, sebilik asrama dengan saya di Prep School, MCKK, yang juga mencari kot. Dia menang di Temerloh dan baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri. Lagi satu kebetulan. Puas mencari di Sogo tidak berjumpa. Akhirnya kot yang padan dengan saya dibeli di kedai bundle di Chow Kit! Dan dengan kot itu saya menghadiri mesyuarat Exco Pakatan Rakyat Selangor yang pertama. Saya pernah menonton satu filem yang bertajuk Fidel tentang perjuangan pemimpin Cuba, Fidel Castro. Ada satu adegan di mana Castro dan rakan-rakan seperti Che Guevara mengadakan mesyuarat pertama setelah menggulingkan pemerintahan diktator Batista. Mereka agak kekok kerana kali pertama menjadi pemerintah. Mesyuarat Exco pertama kami pun lebih kurang begitu! Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar mempengerusikan mesyuarat Exco. Satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia korporat. Tetapi dapatkah beliau memahami keperluan rakyat Marhaen? Di sebelah beliau Dato Ramli Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri. Saya telah beberapa kali berkonfrontasi dengan beliau semasa beliau menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Ketika itu saya adalah pembangkang tetapi sekarang kami berada dalam pasukan yang sama. Dapatkah kami bekerjasama? Duduk di kiri saya Elizabeth Wong, di kanan Dr. Xavier Jayakumar dan di hadapan Ronnie Liew. Bolehkah agenda Islam PAS diserlahkan ketika PAS hanya ada 8 kerusi? *Revised edition.
Posted on: Sun, 03 Nov 2013 10:25:58 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015