Kesedaran Masyarakat dikomuniti berkaitan isu alam sekitar telah - TopicsExpress



          

Kesedaran Masyarakat dikomuniti berkaitan isu alam sekitar telah mula mendapat perhatian di PRU 13 . Parti politik berkempen dengan pelbagai cara sama ada parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Mereka memanipulasi isu demi untuk kepentingan dan survival parti mereka. Salah satu isu yang diperjuangkan ialah isu alam sekitar. Isu alam sekitar telah dipolitikkan dengan pelbagai hujah dan alasan dengan mengaitkan kesan negatif sesuatu isu alam sekitar tersebut seterusnya menunjukkan kegagalan pihak berkuasa iaitu parti pemerintah menangani isu tersebut dengan bijaksana tanpa menjejaskan alam sekitar dan kehidupan manusia. Justeru, politik alam sekitar meneliti persoalan alam sekitar dan hubungkaitnya dengan idea pemikiran manusia yang mencetuskannya. Secara keseluruhannya, politik alam sekitar juga berkenaan dengan fahaman environmentalisme sebagai ideologi politik alam sekitar dan manifestasnya di peringkat global; perkembangan aspek alam sekitar dalam konteks politik, ekonomi dan sosial dunia; isu globalisasi dan rejim politik alam sekitar yang berperanan membentuk hubungan antara negara dan kewilayahan; dan peranan pihak-pihak yang berpengaruh dalam menentukan iklim politik dunia dalam konteks alam sekitar. Bagi isu alam sekitar global seperti isu penebangan hutan tanpa kawalan, pencemaran air (seperti tumpahan minyak) dan udara (pencemaran asap kenderaan dan kilang serta pembakaran terbuka), pemanasan global, kesan rumah hijau, kebocoran loji nuklear dan bahan kimia dan perubahan pandang darat telah menjadi isu penting dalam perbincangan dan persidangan alam sekitar sedia seperti Persidangan Rio, Johannesburg, Copenhagen, Durban dan sebagainya. Dalam konteks Malaysia pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, terdapat beberapa isu alam sekitar yang hangat dimanipulasikan oleh pihak parti politik, NGO dan pihak-pihak berkepentingan. Mereka menjadikan isu alam sekitar tersebut untuk menarik perhatian rakyat supaya bersama mereka yang diakhirnya bermotifkan politik. Di Kelantan, isu penyaluran bekalan air bersih dan bertekanan tinggi serta isu penerokaan hutan untuk pembalakan telah dimainkan oleh NGO pro BN untuk menghentam Kerajaan PAS Kelantan. Di Selangor, isu bekalan air terawat dikempenkan oleh Kerajaan Pusat (BN) agar pihak Kerajaan Negeri (Pakatan Rakyat) menerima pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang sebenarnya untuk menampung keperluan bekalan air bersih baik kepada rakyat serta industri di negeri ini selain sebagai langkah untuk menangani krisis sumber itu yang dijangka berlaku 2014 di seluruh Lembah Klang termasuk Putrajaya. Isu perlombongan pasir dan kelewatan pungutan sampah turut digunakan media arus perdana untuk menyalahkan Kerajaan Negeri yang mengakibatkan kemerosotan dan kemusnahan alam sekitar. Manakala di Kedah pula, isu pembalakan menjadi topik perbualan utama pemimpin-pemimpin politik di sana sama ada bagi pihak Pakatan Rakyat (Kerajaan Negeri) dan juga BN untuk meraih simpati dan undi rakyat. Oleh itu, artikel ini akan mengupas isu alam sekitar yang telah dipolitikkan atau disebut sebagai ‘politik alam sekitar’ dengan menganalisis persepsi responden/pengundi di Negeri Kedah terhadap isu-isu persekitaran di kawasan mereka seterusnya melihat kesan isu-isu persekitaran tersebut terhadap pandangan politik dan pilihan politik mereka. Politik alam sekitar Sebarang perbincangan mengenai politik alam sekitar pada asasnya perlu melihat cara di mana persekitaran dan hubungan dengan manusia dan pembangunan ditafsirkan. Pengetahuan manusia mengenai hubungan antara manusia dan alam sekitar juga telah berkembang secara progresif. Sebagai contoh, sehingga lewat sebagai tahun 1950-an pemikiran dominan ialah bahawa pengeksploitasian alam sekitar boleh diambil mudah. Sumber asli telah difahami sebagai tidak pernah kehabisan. Manusia bebas untuk mengeksploitasi alam sekitar sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat atau kesan negatif hasil tindakan mereka tersebut (Connelly & Smith, 1999) Bukan itu sahaja, sumber-sumber asli yang berharga dieksploitasi sewenang-wenangnya untuk pembangunan material manusia. Perspektif ini diterap banyak berfikir pada pembangunan ekonomi dalam apa jua bentuk, lazim dalam dunia perindustrian. Sumber asli tidak dilihat sebagai mempunyai jangka ketersediaan terhad, tetapi hanya satu cara melalui mana pembangunan material untuk manusia boleh dicapai. Pandangan ini kini kerap diperbincangkan untuk dipersoalkan namun ditolak. Kemusnahan alam sekitar (yang membayangkan kemungkinan sebenar sumber asli pupus) dan keperluan untuk pemuliharaan telah kini muncul sebagai fakta-fakta yang tidak dapat dipertikaikan. Pengeksploitasian alam sekitar bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi untuk kelangsungan hidup manusia telah diwujudkan sebagai fakta kewujudan manusia. Dalam erti kata lain, perlindungan alam sekitar tidak dilihat hanya sebagai suatu kebaikan, ia dilihat sebagai satu keperluan. Politik alam sekitar akan melihat dan memahami hubungan antara alam sekitar dan pembangunan dan menumpukan perhatian kepada pelbagai jenis perspektif politik di seluruh persoalan alam sekitar. Isu alam sekitar menjadi penting apabila ia menjadi isu merentas sempadan dan menjadi agenda global dalam persidangan-persindangan serantau terutama isu ujian nuklear, kebakaran hutan, kebocoran ozon di Kutub Utara dan isu-isu ini diperjuangkan oleh badan NGO yang dikenali sebagai Greenpeace. Ia ditubuhkan pada 1971 di British Columbia, Kanada ekoran ujian nuklear dalam laut oleh Amerika Syarikat (Dodds, 2005). Politik alam sekitar juga berkaitan dengan masalah ekologi yang berpunca daripada keputusan politik pihak berkuasa yang merangkumi isu pengairan dan saliran, perikanan laut dalam, pelupusan sisa pepejal dan cecair, pembangunan tanah lembap/wetland, hidupan liar, isu air, isu haiwan liar dan sebagainya (Glassner, 1993). Peranan politik dalam isu alam sekitar akan memberikan kesan positif dan negatif dalam perubahan politik dan pembangunan dan pelaksanaan dasar-dasar baru alam sekitar. Antara kesan-kesan positif adalah seperti berikut: • kehendak/desakan politik yang tinggi • kesedaran politik yang tinggi • penyertaan awam yang tinggi dalam pembuatan keputusan dasar/polisi • pembangunan sains dan teknologi yang lebih terarah • peningkatan amalan pengurusan persekitaran Kesan-kesan negatif pula adalah seperti berikut: • Terlalu banyak institusi yang berurusan dengan isu-isu alam sekitar menyebabkan kesukaran dalam membuat penyelarasan • Terlalu banyak dasar, tetapi sumber manusia dan kewangan yang terhad untuk melaksanakan peraturan ini, yang membawa kepada kekurangan kredibiliti pihak berkuasa.
Posted on: Tue, 17 Sep 2013 16:14:45 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015