Pegawai Kastam maut dalam nahas jalan raya 30th September, - TopicsExpress



          

Pegawai Kastam maut dalam nahas jalan raya 30th September, 2013 KENINGAU: Seorang pegawai Kastam maut dalam satu nahas jalan raya yang berlaku di kilometer 22 jalan Sook – Keningau kira-kira jam 1.00 petang kelmarin. Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supritendan Polis (DSP) Robert Salisip @ David, yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa Lawrance Ak Maring, 25, seorang Pegawai Kastam di Jabatan Kastam Labuan, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Menurutnya, semasa kejadian motosikal mangsa bergerak dari arah Sook menuju ke Keningau manakala kenderaan pacuan empat roda pula bergerak dari arah bertentangan. “Sampai di tempat kejadian motosikal yang ditunggang oleh mangsa hilang kawalan, masuk ke lorong kanan lalu bertembung dengan pacuan empat roda berkenaan. “Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk tujuan bedah siasat,” jelas beliau. Menurut Robert, semasa kejadian, mangsa bersama tiga orang rakannya sedang berkonvoi motosikal dari Labuan dan kedudukan motosikal mangsa adalah nombor tiga daripada empat motosikal berkenaan. Katanya, siasatan di tempat kejadian menunjukkan jalan berturap tar, selekoh ke kiri, cuaca baik masa kejadian, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Posted on: Mon, 30 Sep 2013 00:40:36 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015