Perihal Manuskrip ‘Hikayat Pahang’ - TopicsExpress



          

Perihal Manuskrip ‘Hikayat Pahang’ Bismillahirrahmanirrahim Pemerhatian kepada hampir kesemua buku-buku sejarah karangan ahli-ahli akademik dan sejarahwan tentang peristiwa Perang Saudara Pahang atau Perang Bendahara Pahang yang berlaku diantara tahun 1857-1863M dapat membawa kepada suatu kesimpulan; bahawa kebanyakan daripada data dan fakta mengenai peristiwa tersebut diambil terus daripada satu sumber primer, iaitu sebuah manuskrip tempatan bertajuk Hikayat Pahang. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana Hikayat Pahang merupakan satu-satunya sumber tunggal pribumi yang mencakupi era tersebut dengan segala perincian sejarahnya. Malangnya manuskrip tersebut terkandung beberapa kecacatan dasar atau akar umbinya yang menyebabkan isu-isu utama yang diketengahkan menjadi jauh terseleweng dari peristiwa sebenar yang berlaku. Walaupun Hikayat Pahang diakui banyak memberikan sumbangan dalam bentuk perincian data mengenai titik-bengik yang berkaitan dengan proses peperangan itu sendiri, bagaimanapun pengkisahannya mengenai latarbelakang politik istana serta campurtangan orang luar, khususnya pihak British yang banyak mewarnai peristiwa Perang Saudara Pahang tersebut samada menyeleweng dari fakta sebenar, diremeh-temehkan atau disenyapkan terus. Beberapa perkara pokok seperti isu surat wasiat Bendahara Tun Ali, kesan daripada jatuhnya empayar Johor kepada kerajaan Bendahara di Pahang, peranan Tun Mutahir sebagai Bendahara Johor dan Raja Pahang, fakta di sebalik peristiwa pemberontakan dan pembunuhan anak Maharaja Perba, perlanggaran adat Raja-Raja Melayu dan sebagainya juga mengalami nasib yang sama. Penulisan manuskrip Hikayat Pahang yang bersifat prejudis dan berat sebelah itu telah dikritik oleh seorang tokoh sejarah dan ahli akademik yang terkenal, Prof Dr Muhammad Yusof Hashim dalam bukunya Tradisi Pensejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930. Antara lain beliau menulis; ‘Hj Muhammad Noor (pengarang HP) seolah-olah menjadi pengacara bagi menghebah dan mendakyahkan kepada umum bahawa bendahara atau sultan Ahmadlah yang menjadi ‘sauh’ bagi menentukan arah sejarah Pahang. Begitu condong sikapnya terhadap tokoh protagonisnya ini sehingga menaratifkan hal-ehwal politik Pahang daripada tahun 1800 sehingga ke tahun 1930 an dan tokoh inilah yang diletakkan menjadi ‘paksi’ bagi kerangka pensejarahannya. Di sekitar paksi inilah segala naratif darihal titik bengik politik dan kebudayaan serta anecdote tentang individu Pahang (para anggota kerabat dan pembesar negeri itu) berkisar. Hal ini begitu terasa ketika menulis naratif ‘Cetera Enam Belas’ iaitu mengenai angkatan perang Bendahara Tun Mutahir yang dikatakan mulai lemah. Ketokohan Tun Mutahir dan para penyokongnya diletakkan di bahagian pinggiran naratif saja. Oleh itu secara langsung, ketokohan dan ‘watak’ Wan Ahmad segera menyerlah.’ Dalam perenggan lain, beliau menulis: “ Dalam hal ini, jelaslah arah ‘political slant’ dan ‘compositional slant’ yang diambil oleh pengarang ke arah Wan Ahmad….Oleh itu sikap pengarang HP (Hikayat Pahang) lebih banyak ‘dikemudikan’ oleh pihak penaungnya, iaitu kalangan teratas istana Pahang” Sebagai satu-satunya sumber tunggal pribumi yang memperihalkan data-data terperinci mengenai Perang Bendahara Pahang, manuskrip Hikayat Pahang mendapat ‘advantage’ yang besar sebagai sumber rujukan primer utama kepada para sejarahwan dan ahli akademik yang membuat pengkajian serta penulisan mengenai peristiwa tersebut. Apatah lagi Perang Bendahara Pahang mempunyai kepentingan dan nilai yang tinggi dari sudut sejarah kerana kesan daripada peristiwa tersebut telah membawa kepada era pemerintahan sultan-sultan Pahang dari keturunan bendahara, bermula dengan Sultan Ahmad Muadzam Shah I (1882-1914M) dan berlanjutan sehingga ke hari ini. Kegagalan ketara kepengarangan Hikayat Pahang dalam menelusi latarbelakang politik Perang Bendahara Pahang secara tepat dan neutral seharusnya menjatuhkan nilainya sebagai sumber primer bagi pensejarahan negeri Pahang (dalam era berlakunya kejadian itu) dari perspektif tersebut. Apatah lagi penulisannya yang jelas diketahui bersifat prejudis dan berat sebelah harus diambil sebagai isyarat untuk dibuat perbandingan dengan sumber-sumber primer yang lain, samada bagi mengesahkan kebenarannya ataupun membatalkan mana-mana data yang terbukti menyeleweng yang dipeloporkan dalam penulisan manuskrip tersebut. Apa yang musykilnya, para sejarahwan dan akademik rata-rata tidak mengendahkan kecacatan yang bersifat pokok atau dasar itu, langsung mengambil bulat-bulat apa yang diketengahkan oleh penulis Hikayat Pahang yang diketahui merupakan penyokong dan orang kuat kepada Wan Ahmad (Sultan Ahmad) dalam peristiwa perang saudara itu. Sumber-sumber lain yang diambil hanyalah sedikit dan kebanyakannya bersifat ranting, langsung menjadikan pengkisahan Hikayat Pahang mendapat tempat dalam lanskap sejarah negeri Pahang sebagai fakta-fakta yang dianggap sebagai ‘tepat’, ‘boleh dipercayai’ dan ‘sahih’ . Anggapan ini mampu menyebabkan sejarah sebenar di sebalik peristiwa Perang Bendahara Pahang terkambus untuk selama-lamanya, berikutan penulisan oleh ahli-ahli akademik dan sejarahwan belakangan dan masakini yang hanya berpuashati dengan terus merujuk serta menyalin terus daripada buku-buku sejarah Pahang karangan pelapis pertama seperti W.Linehan, Buyong Adil dan Aruna Gopinath (yang menggunakan Hikayat Pahang sebagai rujukan utama) dengan meminimakan inisiatif untuk mencari sumber-sumber primer yang lain. Buku ‘Pensejarahan Semula Perang Bendahara Pahang (1857-1863); Menelusi Peranan British’ ditulis dengan matlamat mengupas pensejarahan perang saudara di Pahang dari perspektif hubungkaitnya dengan agenda British untuk menghapuskan peranan dan apa jua legasi INSTITUSI BENDAHARA warisan Melayu Melaka sebagai sebahagian dari lanskap ‘Orde Melayu Lama’ (tradisional) demi melaksanakan cita-cita British mengenalkan pemerintahan bercorak sekular di Semenanjung Tanah Melayu. Apa yang pasti, campurtangan British (dan Belanda) secara langsung mahupun tidak langsung dalam politik istana Johor Lama serta dalam Perang Bendahara Pahang telah berhasil membantu kuasa Barat memperkenalkan ‘Orde Melayu Baru’ sebagai muqaddimah atau ‘prelude’ kepada pemerintahan bercorak sekular menggantikan sistem pemerintahan tradisi warisan Melayu Melaka itu. Dalam hal ini, menurut seorang tokoh sejarah dan ahli akademik terkenal, Professor Khoo Kay Kim dalam artikel ‘Pekan’s twilight as an administrative capital’, Heritage, New Straits Times, Monday, January 5, 2004, hlm 5) : “Pahang was the impetus for the Colonial Office in London to form the Federated Malay States (1896)”. (Terjemahan: “Pahang menjadi pencetus kepada Pejabat Koloni di London untuk membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (1896) .” Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu inilah tanda bermulanya proses penjajahan British yang menular sehingga kepada semua kesultanan-kesultanan lain di Semenanjung Tanah Melayu dengan membawa bersamanya sistem pemerintahan SEKULAR menggantikan kanun ADAT dan SYARIAT yang merupakan aturan tradisi orang-orang Melayu semenjak berkurun lamanya. Ini menjadi satu lagi sebab yang amat penting mengapa Perang Bendahara Pahang mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan untuk bergantung semata-mata kepada sumber Hikayat Pahang yang seratus peratus menyembunyikan peranan British sebagai dalang utama di sebalik tragedi pembinasaan Institusi Bendahara yang berpusat di Pahang itu adalah satu kerugian yang amat besar kepada para pengkaji dan pencinta sejarah sebenar Bangsa Melayu. Penulisan judul ini adalah dengan hasrat supaya pengkisahan sebenar di sebalik tragedi Perang Bendahara Pahang dapat diketengahkan. Melalui penemuan beberapa sumber primer alternatif yang amat berharga yang mampu membongkar penyelewengan Hikayat Pahang, adalah menjadi harapan penulis supaya jangan sampai pembohongan Hikayat Pahang terus dianggap dan diterima bulat-bulat sebagai fakta sebenar oleh para pencinta sejarah Melayu untuk selama-lamanya. Penulisan judul ini juga dibuat dengan harapan ianya dapat menjadi pemula kepada pensejarahan peristiwa Perang Bendahara Pahang oleh penulis-penulis lain yang lebih tepat, neutral dan adil. Sekian dahulu. Selamat membaca dan Wassallam. (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman Putera Tun Chik binti Tun Tahir ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Abdul Rahman ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Raja Pahang & Bendahara Johor Lama (1863-?) Artikel di atas adalah petikan dari buku (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman bertajuk ‘Perang Bendahara Pahang 1857-63: (Pensejarahan Semula, Menelusi Peranan British)’ 2007. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk bahagian ‘Buku-Buku (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman
Posted on: Thu, 20 Jun 2013 13:36:07 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015