Tuan Speaker, Terima kasih kerana membenarkan Teratai - TopicsExpress



          

Tuan Speaker, Terima kasih kerana membenarkan Teratai untuk menyertai sesi perbahasan pada petang ini. Salam Sejahtera dan Salam Ubah saya ucapkan kepada Tuan Speaker, YAB Dato Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat Exco, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai-pegawai kerajaan, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Tema Belanjawan 2014 Selangor ini ialah “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat”, yang mana rang undang-undang Enakmen Pembekalan 2014 dibentangkan oleh YAB Dato Menteri Besar sebelum ini. Belanjawan ini merupakan belanjawan pertama selepas Pakatan Rakyat menjadi kerajaan Negeri Selangor pada penggal yang kedua, yang mana Pakatan Rakyat telah mendapat amanah dan mandat daripada Rakyat Selangor untuk “Meneruskan Kecemerlangan” kita dalam menjadikan Selangor sebagai Negeri Peneraju Malaysia supaya dicontohi oleh negeri-negeri lain. Belanjawan ini juga merupakan belanjawan Kerajaan Negeri yang berhasrat membawa faedah kepada 5.65 juta rakyat Selangor. Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional telah memberi hadiah kepada Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, iaitu pengurangan subsidi gula dan pelaksanaan GST pada tahun 2015. Ini jauh berbeza dengan Skim Merakyatkan Ekonomi Malaysia Selangor yang telah memberi air percuma kepada Rakyat Selangor tanpa mengira bangsa dan agama, yang mana sememangnya membawa maslahat kepada Rakyat Selangor. Akan tetapi, dalam perkara penstrukturan air semula, Kerajaan Persekutan masih kekal akan menjadi pemegang saham dalam “NewCo” selepas Kerajaan Negeri Selangor menstrukturkan semula dan menggabungkan syarikat-syarikat konsesi air. Jadi, Pakatan Rakyat patut menjadi Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi supaya usaha-usaha baik Kerajaan Pakatan Rakyat tidak disia-siakan dengan campur tangan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional. Teratai di sini berkongsi kenyataan John Marshall (yang merupakan mantan Ketua Hakim di Amerika Syarikat) :- “The power to tax is the power to Destroy” Teratai menyambut baik dengan belanjawan Kerajaan Negeri Selangor disediakan berasaskan konsep “Belanjawan Berasaskan Hasil” (OBB) dan “Belanjawan Berasaskan Pencapaian” (PBB). Dengan Belanjawan 2014 disediakan berasaskan kedua-dua konsep tersebut, kita tidak akan membawa Rakyat Selangor ke arah kebankrapan sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional yang berhutang tinggi. Jumlah RM28-40 billion yang telah dibazirkan pada tahun lepas oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional di mana berkemungkinan berunsur korup dan kepincangan sepertimana yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara telah menunjukkan perbezaan cara pengurusan kewangan antara Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional dengan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat, yang manakah “Rakyat Didahulukan”. Sektor Infrastruktur merupakan komponen yang terbesar di bawah Perbelanjaan Pembangunan, yakni dengan jumlah RM388,728,030.00 ataupun 62.2% daripada jumlah keseluruhan belanjawan Pembangunan, yang mana kemudahan awam merangkumi 91.91% daripada jumlah belanjawan infrastruktur tersebut. Oleh yang demikian, Teratai berharap kemudahan infrastruktur asas dalam Negeri Selangor ini dapat membantu Selangor sekali lagi menarik lebih banyak pelabur untuk menyuntikkan ekonomi negeri Selangor. Sektor Sosial yang terdiri daripada 22.91% ataupun RM143,182,140.00 jumlah Belanjawan Pembangunan hanya mengagihkan RM3.5 juta untuk komponen Belia. Teratai menyeru Kerajaan Selangor supaya meningkatkan lagi jumlah peruntukan pembangunan belia tersebut memandangkan Pembangunan Belia merupakan suatu langkah yang penting untuk memastikan Selangor terus menjadi negeri peneraju Malaysia yang dapat bersaing di arena Antarabangsa. Sebagai rakyat yang tinggal, bekerja dan berkhidmat di Negeri Selangor, Teratai berasa kecewa atas pengumuman YAB Dato Menteri Besar bahawa hasil jualan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor Barisan Nasional terdahulu tidak diketahui oleh Rakyat, yang mana Kuala Lumpur dan Putrajaya pada suatu ketika dulu merupakan sebahagian daripada Negeri Selangor. Teratai berasa bangga kerana tinggal dan bekerja di Selangor kerana Teratai yakin bahawa Rakyat yang tinggal, belajar atau bekerja di Kuala Lumpur kini sudah pastinya berharap Kuala Lumpur masih kekal menjadi sebahagian daripada Selangor supaya mereka dapat menikmati air percuma dan skim MES lain malahan tidak didesak untuk membayar cukai pintu yang berlimpa ganda tinggi. Tuan Speaker, Ahli-ahli YB Exco dan Ahli-ahli YB, Negeri Selangor merupakan Negeri Berkebajikan. Oleh yang demikian, Teratai berharap lebih belanjawan diagihkan kepada program-program Pembasmian Kemiskinan yang Teratai mendapati belanjawan untuk perkara ini agak rendah. Sebagai sebuah negeri yang berkebajikan, kerajaan juga harus menghala ke arah membasmikan kemiskinan, sama ada kemiskinan bandar, luar bandar ataupun pinggir bandar yang selalu diabaikan. Kemiskinan Sifar - “Zero Poverty” haruslah menjadi target Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat. Teratai mencadangkan Kerajaan Selangor haruslah menjalankan lebih banyak program produktif (terutamanya perbelanjaan pembangunan) yang mempunyai kesan gandaan tinggi. Sebagai contohnya, RM1000 boleh menjadi sara hidup sebulan sekeluarga yang miskin tetapi mungkin merupakan perbelanjaan purata seminggu bagi seorang yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik. Jadi, jika Kerajaan Selangor memberi RM1000 kepada sekeluarga yang miskin, ini dapat menolong mereka sekurang-kurangnya seminggu lebih-lebih lagi jika mereka tahu menggunakan RM1000 untuk menjana pendapatan lain jika dibandingkan dengan seorang yang bertaraf hidup lebih tinggi seperti bagi berkas Menteri Pelancongan Malaysia belanja RM150 untuk satu sesi makanan sama ada makanan tengahari atau malam tapi kemungkinan dengan RM150 yang sama boleh menjadi makanan tengahari atau malam kepada 10 orang biasa. Selain itu, Teratai juga mengalu-alukan Kerajaan menyediakan Belanjawan 2014 ini yang berasaskan konsep Belanjawan Berpenyertaan (“Participatory Budgeting”) dengan mengadakan dialog belanjawan dan dialog manifesto di seluruh Selangor. Konsep ini merupakan salah satu langkah yang berdemokrasi dan bersifat inklusif, yang mana Rakyat Selangor mempunyai hak untuk memberi pandangan bagaimana wang Rakyat akan digunakan. Teratai juga menyambut baik atas sistem pentadbiran Kerajaan dengan konsep “Pejabat Kepada Rakyat” dengan memudahkan Rakyat Selangor berurusan dengan Kerajaan. Akan tetapi, Kerajaan Negeri seharusnya memastikan Selangor menjadi Negeri Wi-Fi supaya “Pejabat Kepada Rakyat” ini dapat memberi manfaat kepada seluruh Rakyat Selangor tanpa kira di bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Program pemasangan 2 Wifi di setiap DUN haruslah dilakukan dengan mengikut cara yang betul dan teratur termasuklah memastikan wifi yang dipasang di kawasan yang sesuai bolehlah berfungsi dengan baik dan lancar. Teratai menyokong cadangan YB Bangi supaya memasang wifi sekurang-kurangnya di 15 kawasan setiap DUN. Teratai tidak nampak terdapat mana-mana peruntukkan daripada ucapan belanjawan YAB Dato Menteri Besar untuk menjadikan Selangor sebuah Negeri Wifi. Tuan Timbalan Speaker, Ahli-ahli YB Exco, Yang Berhormat, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Hasil Pihak Berkuasa Tempatan merupakan salah satu komponen hasil yang penting bagi Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor juga menggalakkan PBT-PBT untuk mengambil inisiatif pencegahan dalam kerja-kerja penyelengaraan supaya mengelakkan pembaziran kos yang tinggi untuk kerja-kerja pembaikan. Akan tetapi, Teratai tidak nampak agihan peruntukan diberikan kepada kerja-kerja penyelenggaraan cerun yang merupakan kerja-kerja penyelenggaraan yang sama penting dengan penyelengaraan saliran dan sungai yang man RM45 juta telah diagihkan kepada JPS. Teratai menggesa Kerajaan Selangor dapat mengagihkan peruntukan untuk cerun dan bukan hanya setakat memberi pinjaman serta faedah selepas dimohon oleh pihak berkuasa tempatan. Tindakan proaktif dengan mengagihkan peruntukan untuk cerun haruslah dilakukan supaya mengelakkan pembaziran kos yang tinggi selepas tragedi tanah runtuh berlaku, yang mana kemungkinan akan merosakkan harta benda atau meragut nyawa Rakyat Selangor. Selain itu, Teratai juga mendapati bahawa Kerajaan Negeri Selangor ingin memanfaatkan faedah “economies of scale” iaitu membeli secara pukal dengan harga yang lebih rendah dan berurusan terus dengan pembekal perkhidmatan atau pembuat barangan dengan memperkenalkan konsep “Perjanjian Harga”. Akan tetapi, Teratai berharap dengan pelaksanaan konsep ini, kejadian monopoli oleh syarikat-syarikat besar tidak berlaku. Kerajaan Negeri Selangor juga mempunyai pengetahuan bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan 97.3% daripada entiti perniagaan di Malaysia. Kerajaan Persekutan Barisan Nasional juga merancang untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (“Trans Pacific Partnership Agreement”). Teratai di sini menyeru Kerajaan Selangor meminta Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional mendedahhkan laporan penilaian risiko (“risk assessment report”) atas impak memasuki TPPA tersebut. Teratai tidak ada halangan untuk urusniaga yang berasaskan adil dan saksama, Teratai hanya berharap Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat menasihati Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional supaya berhati-hati dengan mengkaji impak TPPA tersebut kerana bukan keseluruhan TPPA tersebut memanfaatkan Rakyat. (sambung) Terima kasih Puan Speaker, izinkanlah saya mulakan ucapan saya dengan serangkap pantun sepertimana yang berikut:- Pagi-pagi sejuk cuaca YB-YB hangat debat Suara rakyat kena dibawa Bajet Selangor jaga Rakyat Di samping itu, Teratai menyambut baik atas anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor (“GLC”) melaksanakan program “Corporate Integrity Pledge” dengan menandatangani “Integrtiy Pact” dengan Transparency International (Malaysia). Akan tetapi, Kerajaan Selangor juga disaran untuk mengadakan mekanisme pemantauan demi membanteras gejala rasuah di Selangor. Kerajaan Selangor menyokong Dasar Melindungi Pemberi Maklumat sebagai salah satu langkah membanteras rasuah di Selangor, Teratai berharap Enakmen Pelindung Pemberi Maklumat Negeri Selangor dapat digubal untuk memastikan pemberi-pemberi Maklumat dapat tampil ke depan tanpa bimbang keadaan mereka tergugat. Teratai mengucapkan tahniah kepada YAB Dato Menteri Besar dan kerajaan Negeri Selangor dengan menambahkan Skim Merakyatkan Ekonomi Selangor daripada 7 kepada 17 skim-skim di bawah MES. Akan tetapi, Teratai berharap lebih ramai Rakyat Selangor dapat manfaat lagi jika dibandingkan dengan hanya jumlah 1.6 juta daripada 5.6 juta Rakyat Selangor yang menerima manfaat di bawah skim-skim MES berkenaan selain daripada menerima air percuma. Teratai juga mengalu-alukan penubuhan Majlis Pengangkutan Awam Selangor. Teratai berharap Majlis Pengangkutan Awam Selangor itu bukan sahaja mengkaji kesesakan lalulintas di bandar sahaja, tetapi juga di pinggir bandar seperti di sekitar Pandan dan Ampang, di mana kesesakan lalulintas telah kian lama berlaku. Peruntukan Pengangkutan Bas Awam haruslah diagihkan di bawah Belanjawan Negeri 2014, terutamanya di kawasan DUN Teratai kerana pembekalan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bus awam merupakan salah satu manifesto Pakatan Rakyat Selangor. Negeri Selangor sebagai Negeri Peneraju. Justeru itu, Teratai berharap Kerajaan Negeri dapat menambahkan peruntukan yang lebih tinggi kepada Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, yang mana hanya RM1juta dicadangkan di bawah Belanjawan Negeri Selangor 2014. Pendidikan anak-anak pekerja ladang tidak harus diabaikan. Teratai menyambut baik terhadap hasrat Kerajaan Selangor untuk menubuhkan “Tabung Perubatan Khas Penyakit Kritikal” malahan Teratai berharap Kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan peruntukan yang jumlah yang munasabah sebagai tititk permulaan penubuhan Tabung tersebut. Teratai berharap hasrat Kerajaan Selangor dapat bertukar menjadi sesuatu yang pelan tindakan dengan peruntukan yang secukupnya. Tidak lupa juga, Teratai berharap Pusat Dialisis yang seharusnya ditubuhkan di setiap DUN dapat disempurnakan pada tahun 2014 dengan peruntukan belanjawan yang mencukupi. Negeri Selangor merupakan suatu Negeri Yang Muda. Oleh yang demikian, RM11.5 juta yang diagihkan di bawah Belanjawan Negeri Selangor 2014 selain daripada RM50 juta rizab Negeri adalah tidak mencukupi. Insitutusi Pembangunan Belia haruslah ditubuhkan supaya memastikan anak-anak muda Selangor merupakan pemuda-pemuda yang berpendidikan tinggi dan terus menjadi pemimpin peneraju dalam Negeri Peneraju ini. Teratai juga merakamkan penghargaan dan terima kasih terhadap Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang. Akan tetapi, RM7.8 juta hanya diagihkan untuk masyarakat penyayang ini. Oleh itu, Teratai berharap Kerajaan Negeri dapat mengagihkan lebih banyak peruntukan supaya suatu masyarakat penyayang yang lebih menyeluruh dapat diwujudkan di Selangor, terutamanya kepada golongan miskin dan OKU. Izinkanlah saya berkongsi dengan serangkap nasihat daripada Fela Durotoye:- “Great Nations Are Built By Great People, Not Just By Successful People” Penubuhan Pusat Kebudayaan merupakan rancangan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak penggal pertama sepertimana yang diutarakan oleh YB Sekinchan semalam. Oleh itu, Teratai berharap Kerajaan Negeri Selangor dapat mengagihkan peruntukan untuk penubuhan Pusat Kebudayaan berkenaan selain daripada RM3.05 juta sahaja yang diperuntukkan di bawah perkara-perkara Kebudayaan dan Tradisi. Teratai juga menyambut baik atas cadangan YB Sekinchan dengan memberi bonus 1 bulan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang berprestasi tinggi serta menambah elaun dan kebajikan untuk pembantu-pembantu wakil rakyat yang sepatutnya menolong wakil raykat meringankan kerja-kerja berat kami. Teratai juga menyokong saranan YB Sekinchan untuk menaikkan gaji wakil-wakil rakyat memandangkan kos kehidupan menjadi lebih tinggi di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutan Barisan Nasional yang membawa harga Barang Naik. Teratai ingin mengakhiri ucapan pada pagi ini dengan satu rangkap pantun di dewan ini:- Tanam Padi Hendaklah di Sekinchan Bukit Cantik Datanglah ke Teratai Belanjawan Selangor debat di Dewan Harapan Rakyat Pakatan Rakyat Tercapai Akhirnya, Teratai dengan ini menyokong usul ucapan Belanjawan Negeri Selangor 2014.
Posted on: Fri, 22 Nov 2013 07:49:33 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015