ADMIN SAHSIAH dan AKADEMIK menjadi teras Kemahiran Insaniah - TopicsExpress



          

ADMIN SAHSIAH dan AKADEMIK menjadi teras Kemahiran Insaniah yang sangat dititikberatkan keperluannya oleh pentadbiran Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Kebejatan gejala sosial dan budaya hedonisme yang semakin menular parah khususnya dalam kalangan mahasiswa, menjadikan langkah membendungnya pasti terarah kepada pemantapan sahsiah dan jati diri mereka. Dalam kondisi Ummah kita yang semakin tenat dan parah, elemen Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek perlu disemai subur dan tersemat kukuh sebagai jati diri dan penjenamaan mahasiswa. Dakwah Islam yang berterusan kepada perkara kebaikan (amar ma’ruf), dan seruan yang tidak bermusim kepada mencegah kemungkaran (nahi munkar) menjadi suatu kewajipan kepada individu bergelar muslim. Realiti hari ini memperlihatkan kepada layanan kelas pertama diberikan kepada aktiviti bercorak hedonisme. Benar, hiburan itu tiada salahnya. Tetapi andai disalurkan kepada perkara yang salah, hasilnya menjadi penyebab kebejatan itu bertambah parah. Pilihanraya Kampus (PRK) menjadi antara medan mahasiswa menunjukkan kematangannya saban tahun. Namun, riak-riak bahang kehangatannya dilihat sedikit sebanyak telah membunuh ruh aktiviti-aktiviti bercorak dakwah dan kerohanian. Pemantauan menjadi lebih kerap berbanding berkala pada sebelumnya. Hujahnya kabur, kerana ingin menjaga sensitiviti umum dan keselamatan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh PRK berlansung. Persoalannya, dimanakah pertimbangan secara waras itu diletakkan? Sang penguasa bukanlah dalam kalangan pelajar sekolah rendah yang baru meraih keputusan cemerlang UPSR, sebaliknya sudah pun mencapai tahap pendidikan tertinggi. Nyata, seruan Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Agama Islam Persekutuan dan Negeri masing-masing yang sedang giat dalam usaha untuk memperkasakan institusi masjid dan surau di Malaysia dipandang enteng. Seandainya masjid dan surau yang jemaah tetapnya adalah mahasiswa Islam pun dihalang daripada diimarahkan, malah dikunci dan dimangga, sehingga penggunaannya hanya terhad ketika waktu solat sahaja, maka usah mengeluh apabila institusi ini disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Usah melahirkan kebimbangan seandainya virus ajaran sesat mudah menular dalam kalangan mahasiswa disebabkan tiada kesatuan dan penghayatan agama yang serius. Usah kerap melenting dan menyalahkan orang lain seandainya mahasiswa hari ini sahsiah diri mereka di tahap yang kritikal. PMIUPM sudah lali dengan pelbagai halangan malahan ancaman yang dikenakan sepanjang penganjuran aktiviti kami. Tetapi bila hal yang sama melibatkan rakan sinergi kami seperti Sekretariat Kerohanian dan Kebajikan (SKK) Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej Kediaman, Persatuan dan Kelab, serta entiti-entiti yang lain, diberikan ancaman sedemikian rupa, maka PMIUPM memandang isu ini secara serius. PMIUPM tidak memerlukan kerahan dan paksaan mahasiswa untuk berpartisipasi dalam aktiviti seumpama ini memandangkan tawaran kami juga tidak seberapa. Justeru, PMIUPM bertegas dan MENUNTUT agar sepanjang tempoh PRK, surau Kolej-kolej Kediaman dan Fakulti, serta semua aktiviti-aktiviti kerohanian beroperasi dan berjalan seperti biasa tanpa ada layanan ‘double-standard’. PMIUPM Insha Allah komited dengan usaha meneruskan agenda Dakwah Islam agar terus berkembang subur di kampus hijau ini. PMIUPM juga mengajak warga kampus secara keseluruhannya bersama-sama dalam memperjuangkan agenda dakwah ini. Firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 42 bermaksud, “Andainya jalan juang dakwah ini mudah, dan perjalanannya sangat dekat, pasti ramai yang akan bersama-sama mengikuti kamu, tetapi realitinya, jalan juang dakwah ini sangat jauh, dan di setiap perjalanannya, pasti senantiasa ada gangguan yang sentiasa menghalang.,” Muhammad Faizzuddin Ismail Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM PMIUPM.Official.
Posted on: Tue, 19 Nov 2013 18:14:35 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015