CONTOH KARANGAN PMR – TEMA SOSIAL Karangan Remaja Lari Dari - TopicsExpress



          

CONTOH KARANGAN PMR – TEMA SOSIAL Karangan Remaja Lari Dari Rumah...Punca-punca Masalah remaja lari dari rumah mendapat liputan meluas media massa. Huraikan punca-punca remaja lari dari rumah. Kemelut remaja lari dari rumah telah menjadi satu isu yang sering diperkatakan. Keadaan ini jelas terpapar menerusi siaran media massa yang menjadi isu ini berita utama mereka. Pelbagai pihak memberikan teori atau pandangan mereka mengenai kemunculan kemelut ini dalam masyarakat kita. Punca yang paling ketara ialah tekanan ibu bapa. Remaja yang lari dari rumah sering menggunakan alasan tekanan ibu bapa sebagai penyebab utama mereka melakukan perbuatan terkutuk ini. Tekanan ib bapa ini dikaitkan dengan kegagalan ibu bapa untuk memahami keperluan peribadi remaja yang begitu mendesak kini. Ibu bapa sering menyalahkan anak atau tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya kepada remaja. Jadi, kegagalan ibu bapa memainkan peranan mereka menjadi pendorong utama remaja melarikan diri. Selain itu, remaja lari dari rumah dikatakan berkait rapat dengan pengaruh rakan sebaya. Nasihat yang diberikan oeh rakan sebaya tidak matang dan rasional apabila remaja meluahkan masalah mereka. Keadaan ini berlaku kerana rakan sebaya itu sendiri belum cukup matang dan berpengalaman dalam menangani arus kehidupan yang penuh cabaran ini. Sesungguhnya, rakan sebaya yang memberikan nasihat yang tidak baik akan membawa remaja itu mengambil tindakan untuk melarikan diri. Remaja lari dari rumah juga dianggap akibat unsur barat yang dipaparkan menerusi media massa terutama media elektronik. Remaja yang suka meniru akan melakukan perkara yang mereka tonton di televisyen tanpa sebarang keraguan lagi. Remaja tidak mampu membezakan lakonan dan realiti kehidupan yang jauh berbeza. Oleh itu, media massa menjadi faktor yang berupaya menimbulkan keinginan remaja untuk lari dari rumah mereka. Kemelut ini turut dikaitkan dengan sahsiah remaja itu sendiri. Ramai remaja yang tidak mempunyai sikap yang tabah dan positif apabila menghadapi sesuatu kemelut yang melanda diri mereka. Remaja begitu mudah terasa atau berasa sensitif apabila ditegur oleh ibu bapa sehingga sanggup melarikan diri. Jelaslah, keadaan ini membuktikan bahawa masalah ini turut ditentukan oleh sikap remaja zaman ini yang harus lebih kukuh dan tabah. Kesimpulannya, gejala remaj lari dari rumah ini memang harus ditangani dengan segera demi masa depan remaja kita yang semakin malap ditelan arus kemodenan dunia. Semua pihak terutama masyarakat harus memainan peranan tersendiri dalam menangani kemelut ini. Mungkin kita semua harus menyalahkan diri masing-masing sebelum kita menyalahkan remaja dalam hal ini. KARANGAN PMR - TEMA ALAM SEKITAR Pencemaran alam sekitar menjadi ancaman kepada kehidupan manusia pada hari ini. Bincangkan langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar. Alam sekitar semakin tercemar dan itu merupakan realiti yang harus kita semua sedari. Pihak media massa turut sama menyiarkan pelbagai komen dan analisis mereka tentang kemelut yang melanda alam ini. Semakin lama kita mengabaikan kenyataan ini semakin seriuslah masalah ini dalam kehidupan manusia. Lantaran itu, pelbagai tindakan konkrit perlu dilaksanakan oleh semua pihak dalam menangani masalah ini. Langkah paling awal ialah kerajaan perlu mengawal perlepasan asap dan pembuangan toksik bahan kilang dengan efektif. Pengawalan ini boleh dilakukan menerusi tindakan menguatkuasakan undang-undang terutama meningkatkan aspek dendaan dan hukuman penjara kepada pesalah. Rakyat negara ini pasti akan berasa takut apabila mendengar bahawa hukuman mencemarkan alam begitu berat sehingga mereka tidak lagi berani mencemarkan alam. Jadi, kerajaan perlu mengawal pencemaran alam dengan mengetatkan peraturan yang sedia ada. Selain mengetatkan peraturan, aspek penguatkuasaan turut memainkan peranan yang penting. Maknanya, lebih banyak pegawai penguatkuasa alam sekitar dilatih untuk mampu mengesan lalu mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pencemaran alam ini. Pegawai ini hendaklah dilatih dengan menggunakan teknologi terkini dan praktikal untuk memudahkan mereka melaksanakan tugas dengan baik. Oleh itu, jumlah pegawai penguatkuasa yang banyak memastikan aspek perundangan negara terhadap isu alam sekitar dilaksanakan dengan berkesan. Pada masa yang sama isu pencemaran alam ini mampu diatasi menerusi tindakan membuat kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh difokuskan terhadap golongan muda terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana golongan inilah yang akan mewarisi alam sekitar kita. Kesedaran ketika masih muda menjadikan rakyat kita boleh melakukan sesuatu apabila mereka dewasa kelak terutama untuk memastikan alam sentiasa bersih dan berkekalan. Oleh itu, kempen yang difokuskan kepada sasaran yang tepat mampu membuahkan hasil yang baik kepada pengekalan alam sekitar di negara ini. Malahan, perubahan sikap masyarakat turut penting dalam memastikan alam sekitar kita terus wujud. Sikap tidak apa atau menganggap tugas menjaga alam sekitar boleh dilakukan oleh orang lain perlulah dikikis segera. Sebaik sahaja kita melihat atau mengetahui satu tindakan mencemarkan alam berlaku sepantas kilat kita memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan. Maka, perubahan sikap masyarakat menjadikan usaha mengatasi masalah pencemaran alam ini sesuatu yang mudah pula. Konklusinya, kita mempunyai banyak pilihan untuk memastikan alam sekitar kita terus bersih dan berkekalan. Cuma kita masih enggan mengakui bahawa alam sekitar semakin hilang ditelan kerakusan sikap manusia sendiri yang mengutamakan kebendaan itu. Mungkin naluri manusia yang menganggap mereka makhluk yang paling baik menyebabkan kita alpa akan tugas kita untuk menjaga alam sekitar ini. Alam sekitar bukanlah anugerah Tuhan kepada kita tetapi amanah yang harus kita serahkan kepada generasi akan datang pula.
Posted on: Fri, 06 Sep 2013 11:51:15 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015