Fitrah Aidilfitri: Kembali Memimpin Perjuangan August 7, 2013 - TopicsExpress



          

Fitrah Aidilfitri: Kembali Memimpin Perjuangan August 7, 2013 Kolumnis 1 eid1 Ikhwati fillah, Salam Eidulfitri. Salam kemenangan di lebaran satu Syawal… Tahun ini Eidulfitri 1434H disambut ketika dunia Islam berdepan dengan ujian getir perjuangan. Ketika ini umat Islam di Palestin berdepan dengan bedilan peluru dan sekatan oleh rejim Zionis Israel. Umat Islam di Syria pula terus dicengkam penindasan dan penyiksaan rejim Basyar al-Assad. Begitu juga pemerkosaan ruang demokrasi pilihan rakyat oleh tentera Sisi di Mesir. Pemimpin-pemimpin negara umat Islam menjadi boneka kepada Amerika dan sekutu-sekutunya. Ditambah pula kemelut serangan gerakan liberalisasi yang mencairkan fikrah dan manhaj perjuangan umat Islam. Lihatlah siri-siri penghinaan terhadap Islam di media-media elektronik, youtube dan media maya tetapi disambut hambar dan dingin oleh umat Islam seolah-olah umat sudah hilang izzah [kemuliaan] dan rajulah [keperwiraan] sedangkan Aidilfitri adalah bulan kemenangan, bulah mengalahkan musuh-musuh Allah, bulah menewaskan nafsu syahwat yang merantai kehidupan kita. Eidulfitri bermakna kembali kepada fitrah. Fitrah kejadian insan yang suci, bersih dan luhur daripada dinodai segala kefasadan dan keengkaran pada Sang Pencipta Allah Rabbul Jalil. Manifestasi fitrah ini merujuk kepada jawapan pertanyaan “alastu birobbikum..qaalu balaa syahidnaa.” Jawapan yang sebenarnya ialah mengagung, membesar dan meletakkan hanya Allah sahaja tuhan yang berhak disembah, dipatuhi, diberi ketaatan dan kecintaan. ‘al-wala’ hanya kepada Allah, kembali kepada manhaj Allah dan berjuang memimpin umat dengan manhaj Allah. Ibarat fitrah insan yang suci bersih bagaikan seorang bayi yang baru lahir setelah melalui ujian dan cabaran selama sebulan bagi mengekang kemaharajalelaan nafsu syahwat. Jiwa yang terbina dan terbentuk dari madrasah Ramadhan ini akan menjadi jiwa yang suci yang mampu memikul peranan istikhlaf dan taghyir untuk memimpin perubahan, membangunkan masyarakat, memperkasa satu peradaban umat dan negara. Jiwa-jiwa yang terbentuk dari madrasah Ramadhan inilah yang selayaknya memikul peranan pengimarahan alam (memakmurkan) dan tugas istikhlaf (fungsi khilafah) di muka bumi ini hasil bekalan taqwa dan latihan mujahadah an-nafs. Seharusnya Eidulfitri mencipta momentum perubahan dan energi tajdid buat sang Da’ie dan sang Murobbi. Kerana kita adalah pemimpin umat dan pelopor kepada satu perubahan besar kepemimpinan umat khususnya di Malaysia tercinta ini. Eidulfitri jika diamati secara mendalam ia terangkum dalam tiga rangkai frasa yang boleh diterjemahkan sebagai ‘kegembiraan-kemenangan-kemerdekaan’. Tiga rangkai frasa ini memberikan maksud kepada inti Eidulfitri. Pertama: Eidulfitri merupakan hari kegembiraan. Hari di mana para mukmin bergembira kerana berjaya melepasi cabaran dan rintangan melaksanakan kewajipan puasa yang telah difardhukan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ) Bagi seorang Daie, ia merupakan hari paling gembira di dalam kehidupannya kerana ia berjaya menjadikan Ramadhan dan puasa sebagai mekanisme pentazkiyahan jiwa. Dia mengharungi ibadah puasa dan Ramadhan dengan melipat gandakan amal-amal fardhu, disulami dengan amal-amal sunat seperti tilawah Quran, qiamulail, solat terawih, sedekah, zikir yang merupakan wahana menuju ketaqwaan dan kejernihan jiwa. Taqwa inilah akan menjadi pra-syarat kejayaan dakwah dan amal islami. Da’ie yang memiliki nilai taqwa akan menjadi magnet untuk menarik mad’u dan masyarakat di sekelilingnya. Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah, saling meminta sabar (tabah), perkukuhkan ikatan kamu dan bertaqwalah, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.” Nilai sabar dan taqwa dari Ramadhan ini merupakan aset utama dalam membina jiwa Daie dan KPI kepada kejayaan amal dakwah dan tarbiyah. Kedua: Eidulfitri merupakan hari kemenangan seorang mukmin. Jika kita singkapi sirah Rasulullah SAW, banyak kemenangan telah dicapai oleh umat Islam di bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Seerah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengumpul para sahabat ke tanah lapang yang luas bagi menunaikan solat Eidulfitri untuk meraikan kegembiraan dan kemenangan umat Islam di dalam peperangan Badar El-Kubra. Ketika itulah laungan takbir dan tahmid dipanjatkan kepada Allah tanda kesyukuran dan kemenangan. Kemenangan mempertahankan Islam, mempertahankan syariat Islam, mempertahankan ketuanan negara Islam, mempertahankan huwiyah [identiti] Islam di bumi Malaysia, merobohkan ketumbukan jahiliah dan sekutu-sekutunya. Kemenangan juga bermakna kelangsungan tarbiyah dan dakwah, kekuatan tanzim dan kesepaduan ukhuwwah dalam berdepan dengan jahiliah. Justeru pada hari itu dilaungkan ungkapan ‘kami tidak menyembah melainkan hanya kepadanya (Allah), dengan penuh ketulusan dan keikhlasan, sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir.’ Satu penyataan yang jelas bahawa kemenangan mengesakan Allah, menjulang syariat Allah, berhukum dengan manhaj Allah adalah sebenar-benar kemenangan sekalipun orang-orang kafir dan musyrik anti dan membencinya. Kemenangan fikrah dan harakah, kemenangan memenangkan Islam dari segala-galanya dengan meletakkan Islam tinggi mengatasi ideologi-ideologi ciptaan manusia seperti ancaman liberalisme, sekularisme dan pluralisme. Momentum kemenangan ini telah dimulakan oleh baginda Rasulullah SAW dan diteruskan di bulan Syawal dengan kemenangan Islam mengalah tentera bersekutu al-Ahzab. Jalur kemenangan itu telah dipertahankan oleh para sahabat r.a, khulafak ar-Rasyidin, zaman Umaiyyah, Abbasiyyah, Mamalik hingga pemerintahan Uthamaniyyah. Kemenangan yang diperolehi dengan semangat jihad, tadhiyyah, ithar, ukhuwwah yang bulat kepada Allah SWT, sanggup mempertaruhkan nyawa, bergolok gadai harta hingga ke titisan darah yang terakhir. Hasil daripada proses tarbiyyah dan takweeniyah yang berterusan melalui tangan-tangan para murobbi dan para da’ie dari satu generasi ke satu generasi, dari satu abad ke satu abad dengan melalui proses pewarisan (taurith) yang panjang. Namun serangan gerakan Solibiyyah telah meranap dan memusnahkan jalur kemenangan ini. Akan tetapi obor perjuangan ini telah disahut oleh para ulama, para da’ie, para mujahid Islam. Gerakan mengembalikan semula khilafah Islam telah dipelopori oleh Mujaddid Abad ini iaitu Imam As-Syahid Hasan Al-Banna, pendiri Harakah Islamiah Ikhwanul Muslimin. Usaha–usaha ini berterusan hingga ke waktu dan ketika ini. Lantaran itu kita melihat kejayaan gerakan Islam pada dekad ini di Turki, Tunisia dan Mesir. Walaupun getir apa yang dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam Mesir berdepan dengan tentera Sisi dan gerakan liberal Tamarod, namun semangat jihad mereka tetap menyala dan membara di medan Rab’ah. Banyak kisah perjuangan, pengorbanan, thabat sepanjang pemurobitohan mereka di sana. Berada di kubu-kubu jihad lebih afdal daripada beriktikaf di masjid kerana mendahulukan yang wajib daripada yang sunat. Wajib mempertahankan identiti Islam dan menghormati pilihan rakyat daripada menyerahkannya kepada sekularis–liberalis. Seharusnya momentum kemenangan Islam ini dipertahankan dan dibangunkan semula (rebuilding). Menjadi kewajipan kepada para pejuang, para duat dan para murobbi melestarikan amal dakwah dan amal harokah, menerobos kekuatan jahiliyah, menempati sektor-sektor umat, memperkukuhkan sendi-sendi tarbiyah umat dan memimpin mereka keluar dari lorong kegelapan kepada sinar kemenangan Islam. Semua ini tidak mampu diupayakan melainkan dengan 3 syarat yang digariskan oleh Imam Al-Banna : Iman ’Amiq (iman yang mendalam) Tanzim Daqiq (organisasi yang mantap) Amal Mutawasil (kerja yang berterusan) Sejak dua dekad kejatuhan kuasa dunia Soviet Union pada tahun 1990, Barat percaya kapitalisme akan menjadi ideologi terakhir pencarian manusia. Tetapi sejak kejatuhan institusi kewangan di Wall Street, Amerika Syarikat, ia memberikan signal bahawa Islam akan mengambil alih teraju kepemimpinan dunia dan umat. Umat manusia berada pada dua persimpangan sejarah. Jika dahulu Rasulullah SAW dibangkitkan ketika menjelang keruntuhan Rom dan Farsi, kini umat Islam berada di persimpangan antara peradaban Timur dan Barat yang berada di ambang kehancuran. Lantaran itu umat Islam perlu mempatrikan semangat dakwah dan tajmik Mus’ab bin Umair yang telah mengislamkan penduduk Madinah, semangat penaklukan Khalid al-Walid mengalahkan Rom di Yarmouk, Saad Abi Waqqas di perbatasan al-Qodisiyyah, semangat jihad Umar Al-Khattab membebaskan al-Aqsa, semangat pertarungan Muzaffar al-Quttuz di Ain Jalut, semangat pembebasan Solahuddin al-Ayyubi mengusir tentera Salib di Hittin dan semangat pemimpin muda Muhammad Al-Fateh menawan Kota Konstantinople pada usia 23 tahun. Semangat pembelaan, pertarungan, kepahlawanan, penaklukan adalah ciri utama untuk memimpin peradaban ini. Ya abad ini abad pertembungan, bukan sekadar pertembungan fizikal tetapi pertembungan fikrah [ideologi] antara Islam vs Jahiliyah, antara iman vs kufur, antara ketulenan manhaj dengan kecairan manhaj harakah, antara berpegang kepada thawabit perjuangan dan peleburan manhaj perjuangan. Ketiganya: Eidulfitri merupakan hari kemerdekaan. Kemerdekaan kerana kita berjaya membebaskan diri kita dari siksaan api neraka dengan melakukan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub). Kita sering kali berdoa : “Allhumma ij’alna min utaqo’ min annar…” ”Ya Allah, jadilah kami orang-orang yang bebas dari azab api neraka…” Kemerdekaan juga bermakna kita bebas daripada ditawan dan ditakluk oleh belenggu nafsu syahwat. Kita merdeka daripada perhambaan kepada kehendak perut kepada menjadi hamba kepada Allah SWT semata-mata. Ia juga bermaksud kita merdeka daripada rantaian syaitan, iblis dan kuncu-kuncunya serta para pengikutnya. Kemerdekaan fikrah daripada terikut-ikut dengan rentak dan aliran pemikiran yang merosakkan Islam dan gerakan Islam. Sejarah telah menunjukkan betapa banyaknya peluasan Islam (al-Fath al-Islami) telah berlaku. Betapa banyaknya bumi yang telah dimerdekakan dan ditegakkan syariat Islam telah dilakukan oleh para sahabat r.a dan para khulafak Islam. Tugas kita hari ini ialah memerdekakan semula watan Islam daripada dikuasai para penjajah dan membebaskan bumi umat Islam dengan menegakkan semula khilafah Islamiah. Al-Banna telah meletakkan salah satu daripada maratib amal ialah membebaskan watan Islam daripada penguasaan para penjajah. Inilah bingkasan Fitrah Eidulfitri yang mesti terpatri dan terpahat dalam jiwa para pejuang Islam. Kembali kepada fitrah bermakna kembali menyiapkan kekuatan diri untuk meminpin satu perjuangan yang besar. Mari kita bangkit semula mengambil kepemimpinan dunia ini dengan energi Ramadhan ini. Mari kita pimpin sektor kesenian dan kebudayaan, mari kita pimpin sektor sosial dengan menyebarkan kebajikan dan mendukung komuniti masyarakat. Mari kita pimpin pendidikan umat dengan membangunkan kualiti pendidikan dan berusaha memperkasa institusi pendidikan. Mari kita ambil alih kepemimpinan ekonomi dengan membentuk semangat wirausahawan. Mari kita memandang negara kita sebagai amanah Allah yang telah dibebankan ke atas pundak kita. Di sini tanah tumpah kita, tempat berteduh kita, di sini kita tumbuh dan meminum airnya. Mari kita bangun bangsa kita dan negara kita dengan semangat Islam. Biar Islam merubah wajah negara kita menjadi negara yang dipenuhi keamanan, kesejahteraan, keberkatan dan mendapat keampunan (baldatun toiyibah wa rabbun ghafur). Firman Allah : “Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, pasti kami akan melimpahkan ke atas mereka keberkatan dari langit dan bumi.” ( al-’Araf : 96) Semoga momentum dan energi Ramadhan dan Eidulfitri mampu memimpin kita membawa perubahan. Semoga ruh Eidulfitri dan Ramadhan kita serapkan dalam pergelutan hidup kita sehari-hari untuk memimpin perjuangan yang tidak ada titik hentinya. Ustaz Mohd Azizee Hasan AJK Biro Tarbiyah Pusat Ikatan Muslimin Malaysia ismaweb.net/v4/2013/08/fitrah-aidilfitri-kembali-memimpin-perjuangan/
Posted on: Thu, 08 Aug 2013 10:32:18 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015