Imam Nawawi & Fathul Bahri pada sisi rakyat Ahmad Tajdid, 10 Sep - TopicsExpress



          

Imam Nawawi & Fathul Bahri pada sisi rakyat Ahmad Tajdid, 10 Sep 2013 IMAM Nawawi atau nama penuhnya Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu al-Nawawi (631 -676H) ialah anak kelahiran Damsyik, Syam (Syria). Menghafaz Quran sejak dari kecil, beliau dilapor mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam berbagai jurusan ilmu agama. Antara buku karangan ulama terkenal Mazhab Shafie ini adalah Syarah Sahih Muslim dan Riyadus Salihin. Sepanjang hayatnya, Imam Nawawi telah menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada agama Islam dan umatnya. Ketegasannya dalam menyampaikan kebenaran Islam tiada tolok banding pada zamannya. Sebagai ulama yang memimpin umat, beliau memfatwakan kebenaran tanpa rasa takut walaupun akibatnya merugikan kedudukan dan mengancam nyawanya. Terdapat satu kisah masyhur berhubung Imam Nawawi yang menjelaskan lagi kemuliaan peribadi ulama terkemuka ini. Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun baginda belum merasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya. Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau. Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu. "Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang hamba, tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai. "Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan kamu mengambil harta rakyat." Kesimpulannya, Imam Nawawi berfatwa tidak membenar Al-Zahir mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat digunakan. Sultan Al-Malik Al-Zahir begitu murka apabila mendengar fatwa itu sehingga sesetengah riwayat melaporkan, para ulama yang hadir mengangkat jubah masing-masing kerana takutkan percikan darah terkena hujung jubah mereka jika Sultan memancung kepala Imam Nawawi. Namun Sultan mengeluarkan perintah supaya Imam Nawawi segera keluar dari Damsyik. Akur dengan perintah itu, beliau membawa diri ke Nawa. Para ulama Syam berusaha menjemput Imam Nawawi kembali ke Damsyik namun beliau enggan selagi Al-Zahir memegang tampuk pemerintahan. Begitulah keberanian jiwa seorang ulama yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan kerana tidak rela mengorbankan kebenaran Islam. Kisah di atas turut menjelaskan tentang kewajipan kerajaan yang sedang berhadapan dengan krisis dan setakat mana kepentingan rakyat perlu dikorbankan semasa negara mengalami krisis. Pemerintah yang adil, amanah dan bertanggung jawab sudah pasti mengutamakan rakyat dan tidak mengorbankan kepentingan rakyat. Dalam menghadapi kemelesetan ekonomi sebagai contoh, kerajaan perlulah mencari kaedah terbaik bagi mengelak rakyat menghadapi kepayahan hidup dan tidak mencari jalan pintas dengan membebankan rakyat. Apatah lagi jika kemelesetan ekonomi itu berpunca daripada amalan berbelanja kerajaan (yang boros), rasuah, penyelewengan dan kegagalan mengurus tadbir negara dengan baik. Sehubungan itu saranan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya kerajaan menanggung sendiri beban kewangan yang meningkat dan bukan melepaskannya ke bahu rakyat perlu diberi perhatian serius. Mengulas langkah kerajaan BN menaikkan harga runcit Ron97 dan diesel, Ku Li menggesa agar gejala rasuah yang menjadi masalah terbesar dalam pentadbiran negara diatasi segera kerana ia menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat. "Amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang yang banyak. Akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripadanya," tegas beliau. Bagi Ku Li, kerajaan telah membiarkan rakyat bawahan membayar kos tambahan akibat daripada kos projek yang terlalu mahal (akibat rasuah). "Kerajaan sepatutnya menanggung sendiri beban kewangan yang meningkat, bukan melepaskannya ke bahu rakyat," tegas bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu. Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menyarankan supaya semua pemimpin kerajaan termasuk menteri dan bekas menteri mengisytiharkan harta masing-masing sebagai salah satu langkah membanteras amalan rasuah. "Ini termasuk juga isytihar duit (wang simpanan). Saya sendiri akan isytihar (walaupun sudah lama tidak jadi menteri)," lapor Sinar Harian, 7 September lalu. Lain pula kisahnya dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu rakyat menerima kenaikan harga barangan (akibat kenaikan harga minyak) sebagai takdir dan ketetapan daripada Allah SWT. Mengulas pandangan Fathul Bari itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Islam menitikberatkan konsep adil kepada semua pihak - peniaga dan pembeli. Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, tidak wajar mengajak rakyat menerima kenaikan harga barangan sebagai takdir sedangkan pada masa yang sama ada pemimpin negara, ahli korporat dan syarikat kroni terus-menerus mengambil kesempatan untuk hidup bermewah. "Memang hakikat naik turun, ajal maut semua ketentuan Allah tetapi bukan bermakna pemerintah boleh sesuka hati meletakkan kesalahan kepada takdir. "Demikian juga kalau kita tengok kerajaan memotong subsidi untuk rakyat tetapi dalam waktu sama golongan korporat dan bangsawan dilihat hidup melampau-lampau mewah," katanya dipetik TV Selangor. Kenyataan Fathul Bari itu juga, tegas beliau berbahaya kerana boleh memberi gambaran bahawa peniaga boleh bebas menaikkan harga barangan dan pengguna harus menerimanya sebagai takdir. Kesimpulannya, negara perlukan pemerintah yang adil dan ulama yang amanah dengan ilmunya untuk terus kekal makmur dan harmoni. Tanpa dua syarat itu, hasrat mewujudkan sebuah negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT tidak akan tercapai.
Posted on: Tue, 10 Sep 2013 09:31:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015