Istiadat Mandi Keris Awal Muharram (Maal Hijrah) Awal Muharram - TopicsExpress



          

Istiadat Mandi Keris Awal Muharram (Maal Hijrah) Awal Muharram kembali lagi. Rasanya baru sahaja aku sambut tahun Hijrah 1432 yang lalu, kini dah masuk tahun 1433 pula. Cepat betul masa berlalu. Setiap tahun bila tibanya Awal Muharram ini, sambutan Maal Hijrah akan diadakan di merata-rata dunia termasuk di Malaysia sendiri. Dan setiap tahun itu jugalah aku akan sibuk dengan istiadat mandi keris pada setiap bilah yang ada dalam simpanan aku.. Bila kita bercakap soal mandi keris pada masyarakat umum, ramai yang mempersoalkan relevannya istiadat itu pada masa kini. Malahan tidak kurang ramai juga yang mengaitkan amalan mandi keris itu merupakan satu perbuatan khurafat, syiriq dan menyekutukan Allah SWT. Ada juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa amalan ini bersangkutan pada kuasa-mistikal-ghaib pada keris-keris tersebut.. Seperti biasa aku hanya tersenyum sinis bila mendengar kata-kata yang sedemikian. Pada aku, sesuatu urusan itu mudahnya dilihat begini – Kalau kita melakukan dengan cara memuja jin dan sebagainya (cara-cara yang terlarang), maka dengan itu kita telah berdosa besar dengan menyekutukan Maha Pencipta. Dosa itu digelar syiriq dan merupakan dosa yang tidak akan diampunkan Allah SWT. Nauzubillah Minzalik! Akan tetapi, kalau cara yang kita gunakan itu tidak melibatkan penggunaan, pemujaan semangat, jin dan sebagainya, dan selagi kita tidak melanggar hukum syarak dan duduk dalam landasan serta aturan yang betul, Inshaallah.. Kita selamat di jalan Allah. Lumrahnya kita sebagai manusia ini terlalu mudah menghukum seseorang atau sesuatu perkara tanpa kita mengenal dengan pasti tentang apa yang diperkatakan, diperlakukan dan urusan-urusan yang dijalankan oleh seseorang yang lain itu. Begitu ceteknya dan jumudnya pemikiran kita sehingga terus jatuh hukum mengatakan bahawa perbuatan ini syiriq.. Berdosa.. Pakai jin dan sebagainya.. Aku tak nafikan memang terdapat orang-orang yang menggunakan khadam atau jin dalam istiadat mandi keris mereka, tetapi di sini lah relevannya penulisan ini untuk mengajak pembaca melihat dari sudut yang lain pula serta lebih luas skopnya tentang istiadat mandi keris yang langsung tidak perlu penggunaan khadam atau jin.. Ramai yang mempersoalkan mengapa istiadat mandi keris dilakukan pada Awal Muharram (Maal Hijrah) setiap tahun? Di sini aku ingin berkongsi satu jawaban mudah.. Istiadat mandi keris dilakukan setahun sekali pada setiap Awal Muharram dari 1 sehingga 10 haribulan adalah kerana bulan Muharram ini adalah bulan yang diharamkan berperang oleh Allah SWT.. Mudah! Dari sinilah datangnya adat yang diwarisi turun temurun oleh bangsa Melayu dan orang Islam kerana hanya pada bulan ini sahaja (dalam kalendar Hijrah), para pahlawan, tentera, pendekar, panglima yang terdahulu tidak berperang, bertarung dan sebagainya. Bulan Muharram ini juga para pahlawan dan pendekar tadi itu semua mengisi masa mereka dengan berkhalwat, bertasbih kepada Allah, mengabdi diri pada Al Khaliq.. Itu sahaja. Keris yang sudah terbiar tersimpan (atau mungkin digunakan) selama setahun, pastinya sudah kotor dan berkarat.. Bisanya juga sudah mulai hilang.. Maka dalam kesempatan setahun sekali inilah diambil bagi mencuci, membersihkan dan memberi bisa semula pada mata bilah keris.. Bulan Muharram ini di gelar Rasulullah SAW dalam hadisnya sebagai ‘Syahrullah’ – Iaitu ‘Bulan Allah’. Rasulullah bersabda : “Puasa yang paling utama setelah Ramadan adalah puasa di bulan Allah, Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam”. (HR. Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasai’ dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah dengan status hadis marfu’). Dari Nukman bin Saad dari Ali bin Abi Thalib, : Telah bertanya kepada beliau seorang lelaki. Katanya, “Apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadan?”, Maka jawab Ali, “Aku tidak pernah mendengar seseorang bertanya mengenai perkara ini melainkan seorang lelaki yang aku telah dengar bagaimana dia bertanya kepada Rasululullah SAW sedangkan aku duduk disampingnya. Maka katanya; Wahai Rasulullah, apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadan?”. Jawab Nabi SAW, “Sekiranya engkau berpuasa selepas bulan Ramadan maka berpuasalah pada bulan Muharram maka sesungguhnya ia merupakan bulan Allah padanya Allah telah mengampunkan dosa keatas kaum dan akan mengampun dosa keatas kamu.” (HR. Tirmidzi dengan status hadis hasan gharib). Jadi di sinilah timbulnya kemuliaan atau keutamaan yang dikaitkan dari sudut penjagaan keris atau senjata lain pada bulan Muharram. Berikut di bawah ini pula aku sertakan ayatul Al Quran mengenai status perang / membunuh dalam bulan Haram di sisi Allah SWT: Mereka bertanya tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar. Namun menghalang (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) dari pada membunuh. (QS AL-Baqarah (2) :217) Nah..! Itu sebab-sebab pertama mengapa istiadat mandi keris itu dilakukan pada Awal Muharram. Adakah ianya menimbulkan syiriq atau menyekutukan Allah SWT? Aku akan huraikan lagi seterusnya.. Bila kita bercakap soal bisa keris pula, ramai yang beranggapan bahawasanya keris itu mempunyai khadam yang boleh menimbulkan bisa pada mata bilah besi tersebut.. Pada pandangan aku ini ternyata salah kerana apa dayanya seekor atau beribu-ribu ekor khadam jin yang duduk pada melebihi kuasanya mereka itu dari Allah Taala..? jawabannya mudah – TIDAK ADA! Yang berkuasa ke atas segala sesuatu hanyalah Allah SWT maka itu kita harus menyandarkan harapan dan segalanya hanya pada Allah..! Jangan menyekutukanNya..! Mari kita lihat ayat dibawah ini yang di petik dari Surah Al Hadid (Surah besi) yang diturunkan Allah sewaktu perang Uhud: Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan Mizan (keadilan, keseimbangan, keselarasan, kesepadanan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia (supaya mereka mempergunakan besi itu), dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (al-Hadid 57: 25). Nah..! Jawaban kedua dari mana datangnya kekuatan pada besi.. Tidak lain dan tidak bukan hanya dari Allah Taala semata-mata. Jadi apa relevannya lagi memasukkan khadam atau jin pada mana-mana besi untuk dibuat senjata? Pada aku TIDAK ADA kerana aku hanya menyandarkan segala sesuatu pada Allah semata-mata! Mungkin pada sesetengah manusia yang inginkan keris yang sakti-hebat sehingga boleh terbang sendiri dan sebagainya memerlukan khadam dan aku hanya mampu menasihati untuk menghentikan serta meninggalkan amalan tersebut kerana itu jelas bertentangan dengan Hukum Syarak dan berdosa besar! Nak buat apa ada keris terbang sekali pun kalau yang terbang itu tak boleh dihantar terus ke bumi Jerusalem bagi menyelamatkan Muslim Palestin..? Tak guna pun.. kah kah kah..! Tak dinafikan juga, ada pula jenis-jenis jin yang sanggup menghamba diri dengan sendirinya duduk pada mana-mana bilah keris atau senjata lain bagi mencari tuan baru. Nasihat aku, jangan layan khadam tu.. Buat tak tahu. Tak perlu nak perasapkan keris tu dengan kemenyan dan sebagainya atas tujuan nak bagi makan Khadam ataupun jin (kecuali bagi tujuan pengeringan dan mewangikan – Ini pendapat peribadi aku tetapi tidak perlu kerana kita kini ada alternatif kepada cara lama untuk mengeringkan keris). Buat apa nak bagi jin tu makan free..? Tak ada hasil pun..! Oleh itu, buat tak tahu saja lah dan berdoa pada Allah SWT agar makhluk itu segera meninggalkan besi tersebut.. Inshaallah! Baiklah.. Kita cuba tinggalkan perdebatan mengenai isu-isu dan pandangan khalayak tentang Istiadat Mandi Keris dan kaitannya dengan penggunaan khadam dan jin, segalanya dah aku terangkan. Seterusnya aku ingin sampaikan satu lagi pengetahuan secara percuma bagi yang berminat untuk mengetahui cara-cara ‘memandikan’ keris. Selama berpuluh tahun aku terlibat secara langsung dalam dunia persilatan dan perkerisan, aku telah jumpa ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara untuk mandikan keris. Tidak dinafikan terdapat pelbagai cara. Kalau di Tanah Melayu ini sahaja sudah banyak cara dilakukan, apatah pula kalau di Indonesia.. Sememangnya banyak! Di sini aku akan tunjukkan salah satu cara tradisi oleh masyarakat Melayu lama yang dikenali dengan nama ‘Sintuk Limau’. Bahan-bahan yang perlu disediakan adalah dari jenis yang mudah didapati dan tidak langsung melanggar hukum Syarak agama Islam. Sediakan bilah keris yang ingin dicuci. Sediakan batang pisang yang segar berukuran 3 hingga 4 kaki panjang. Beberapa biji limau nipis. Air kelapa tua / Cuka makanan (bagi memberi ketahanan pada besi sekaligus membuang karat). Ini juga akan bertindak sebagai penebat besi dari karat. Seruas buluh yang berukuran sama panjang dengan mata bilah keris yang ingin dicuci. Air mawar (Bagi mewangikan bilah) ATAU seeloknya Minyak Atar (Unsur minyak bagi memberi ketahanan pada besi. Jenis atar bagi mewangikan). Proses pengeringan bilah dari air. Jangan dilap atau sapu dengan kain kerana itu bukan adat dan adapnya ‘berkeris’. (Dahulukala orang Melayu menggunakan asap kemenyan yang secara perlahan-lahan akan mengeringkan air pada bilah. Tetapi zaman sekarang, kita boleh gunakan alat pengering rambut atau ‘hair-dryer’). Apabila bilah keris sudah tersedia, tikamkan mata serta bilah keris itu tadi pada batang pisang beberapa kali bagi membuang karat peringkat pertama. Setelah keris itu basah dari hasil batang pisang tersebut, kita masuk ke peringkat kedua dengan menggosok mata bilah dengan limau nipis sehingga hilang karat tersebut. Dari sini, bilah keris akan kelihatan putih berseri-seri dan adakalanya binaan pamor juga akan hilang dari bilah keris. Tetapi jangan risau, pamor yang indah itu akan kembali semula. Kemudian, pecahkan sebiji kelapa tua dan masukkan airnya (atau cuka makanan) di dalam ruas buluh yang tersedia tadi (yang sama panjangnya dengan mata bilah keris) dan rendam. Seeloknya, biarkan ianya semalaman bagi mendapatkan hasil. Selepas merendam ianya semalamam, keluarkan bilah keris itu dari ruas buluh, basuhkan dengan air mawar (atau air rendaman beras) bagi mencuci sisa karat yang masih berbaki. Jika ingin mewangikan bilah keris itu pula, maka sapukan dengan minyak atar dan yang sebaik-baik minyak bagi tujuan ini adalah minyak Zafaron, minyak Misik, minyak Gaharu, minyak Cendana atau kalau ada kenalan dari Indonesia, cuba dapatkan ‘Warangan’. dengan penyapuan minyak tersebut, bilah keris akan kembali menjadi hitam dan pamor akan kembali kelihatan. Akhir sekali, proses pengeringan mata bilah tersebut.. Mata bilah keris disediakan bersama batang pisang. Tikamkan mata bilah keris pada batang pisang bagi membuang karat peringkat pertama. Air kelapa tua digunakan bagi merendam mata bilah keris. Rendamkan mata bilah keris di dalam ruas buluh berisi air kelapa tua. Sediakan limau nipis yang dibelah bagi memudahkan proses mencuci. Gosokkan limau nipis pada mata bilah keris bagi membuang karat peringkat kedua. (sumber : mr google)
Posted on: Tue, 13 Aug 2013 12:49:42 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015