KRISIS KEWANGAN 1998: Analisis menerusi ‘A Doctor in the - TopicsExpress



          

KRISIS KEWANGAN 1998: Analisis menerusi ‘A Doctor in the House’ Menyemak penulisan dalam ‘A Doctor in the House’ karangan Tun Dr. Mahthir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, dua bab yang menarik perhatian adalah pada bab 52 dan 55 yang menyentuh isu krisis kewangan pada tahun 1997. Pada bab 52, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang kompleksiti dalam isu perdagangan mata wang serta strategi yang digunakan untuk menguruskan krisis kewangan pada tahun tersebut. Krisis kewangan di Asia Tenggara ini terserah ketika bermulanya serangan pada mata wang Thai Baht oleh pedagang mata wang asing menerusi spekulasi, merebak (financial contagion) ke kawasan sekitar Asia Tenggara termasuklah Malaysia. Krisis ini mempamerkan pertarungan idea meguruskan ekonomi negara antara dua orang besar negara pada waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Anwar Ibrahim dilihat suatu konflik yang cukup tegang. Anwar percaya kepada penyelesaian IMF iaitu dengan menaikkan kadar faedah dan memotong perbelanjaan kerajaan, sedangkan Mahathir menggunakan pendekatan meningkatkan gaji atau pendapatan rakyat dan dalam masa juga meningkatkan harga barang. Slogan inflasi sifar adalah satu ciptaan yang tidak masuk akal dalam membahaskan terma ekonomi pada zaman itu. Mahathir dalam bukunya yang lain, The Malaysian Currency Crisis: How and Why It Happened mengakui bahawa pelaksanaan ini tidak berkesan kerana mengakibatkan peningkatan pada kos pembuatan seterusnya memberi kesan kepada eksport negara. Pada masa yang sama, eksperimen Dasar IMF yang dilaksanakan oleh Anwar tanpa pinjaman daripada Tabung Dunia tersebut juga dilihat tidak mampu untuk menganjakkan kondisi ekonomi domestik dan tidak begitu membantu mendapatkan sokongan pasaran. Maka, kawalan kepada mata wang asing diperkenalkan. Selain isu perdagangan mata wang, keadaan krisis kewangan pada ketika itu diparahkan lagi dengan tindakan pelabur jangka pendek yang menarik pelaburan mereka daripada Bursa Saham Kuala Lumpur. Menerusi ‘Central Limit Order Book’ (CLOB), satu metod perdagangan atau sistem yang bertepatan dengan tempahan pelabur melalui ‘bid’ dan ‘ask’ menggunakan ‘price time priority basis’. Segala transaksi atau perdagangan melalui CLOB ini tidak akan mengubah kepemilikan saham secara undang-undang (legal ownership) mengakibatkan transaksi yang berlaku tidak direfleks pada ‘Central Depository System’ (CDS) bawah BSKL yang mana setiap penjualan saham pada BSKL harus didaftarkan bawah CDS. Isu ini menatijahkan permodalan pasaran (market capitalization) di Malaysia pada waktu itu menurun mendadak lantas memberi kesan terhadap keadaan ekonomi negara. Empat strategi telah dilaksanakan untuk mengurangkan impak krisis ini iaitu: 1) Membekukan akaun Ringgit luaran (external Ringgit account) bukan warganegara Malaysia bagi mengelakkan perdagangan Ringgit 2) Kadar tukaran Ringgit disandarkan kepada USD menjadikan USD1: RM3.80 3) “Twelve Month Rule” iaitu kemasukan modal jangka pendek perlu kekal di dalam Malaysia untuk minimum 12 bulan 4) Pendaftaran pemilik saham melalui nama pemegang amanah tidak dibenarkan. Bahkan, ppemilik saham harus mendaftarkan nama mereka sendiri pada CDS. Walaupun begitu, perkara yang paling penting untuk digali adalah berkenaan Skandal Perdagangan Mata Wang BNM yang telah mengakibatkan kerugian berbilion-bilion USD sekitar tahun 1992-1993. Orang yang bertanggungjawab dalam kes kerugian itu adalah Nor Mohamad Yakcop yang telah diberhentikan daripada jawatannya pada tahun 1994. Namun, sewaktu krisis kewangan berlaku, Mahathir sekali lagi menjemput beliau untuk bertindak bersama-sama dalam menyelesaikan krisis itu. Menurut Dr Rosli Yaakob, bekas pegawai BNM, beliau menyalahkan Nur Mohamad Yakcop, Daim Zainudin (bekas Menteri Kewangan), Mahathir Mohamad dan Jaafar Husein (bekas Gabenor Bank Negara) untuk kerugian dalam perdagangan mata wang atau lebih tepat diistilahkan sebagai perjudian menerusi perdagangan mata wang melalui spekulasi pasaran. Beliau menambah, Norr menggunakan komputernya dan staf lain untuk berspekulasi dalam pasaran pertukaran mata wang asing lantas menyebabkan pemain pasaran mata wang asing antarabangsa menyangka Bank Negara mempunyai pedagang pasaran yang agresif. Namun, Mahathir tetap mempertahankan Nor Mohamad Yakcop. Mahathir mengakui penglibatan BNM dalam perdagangan mata wang asing. Menurut beliau, “Malaysia had some prior experiences in currency trading, in which we had become involved because we needed to ensure that our reserves would not be depleted because of the fluctuations in the currencies we kept. But we only dealt in the currencies of developed countries. We speculated as all in the market did, but we did not manipulate. It was a matter of taking calculated risks, and when one of our speculative ventures failed, we lost a lot of money. After that lesson, we got out of business.” Dalam penulisan in juga, beliau meletakkan kesalahan kepada dua orang iaitu Anwar dan Soros, sedangkan beliau terlupa Nor Mohamad Yakcop juga merupakan individu yang serupa dengan Soros iaitu orang yang terlibat dalam perdagangan mata wang. Sentimen yang dibangkitkan untuk menyalahkan Soros disandarkan dengan sentimen kebencian terhadap Yahudi (kerana Soros berketurunan Yahudi). Sedangkan Anwar pula dikaitkan dengan IMF dan diprovokasi seolah-olah ingin menggadaikan maruah Negara. Perkara ini mungkin juga berikutan tekanan politik terhadap beliau berkaitan situasi dalam UMNO pada waktu itu ditambah pula dengan kemelesetan kewangan serta isu pakej rangsangan yang bersifat selektif dan kegerunan terhadap kejatuhan Suharto pada ketika itu seolah-olah membuka ruang kepada masyarakat menilai potensi Anwar sebagai calon penggantinya. Manakala, dalam bab 55 pula, beliau menulis tentang ancaman kejatuhan beberapa syarikat besar yang telah diswastakan pada waktu krisis kewangan termasuklah Malaysia Airlines, Light Rail Transit Systems, Indah Water Konsortium dan Renong. Renong sebagai contoh adalah sebuah konglomerat yang ditubuhkan untuk menguruskan aset UMNO. Dalam bab ini, kebanyakan syarikat yang dibantu dikaitkan secara langsung dengan kepentingan parti pemerintah dan ini menimbulkan keraguan terhadap pelaksanaan pakej bantuan yang dilakukan. Philippe Ries menulis, “pada akhir 1980-an, asset UMNO dipindahkan ke Renong, sebuah syarikat harta milik Halim Saad, anak didik bendahari parti, Daim Zainuddin. Disebabkan oleh kedudukannya yang mendapat naungan istimewa, Renong memperolehi portfolio asset yang banyak melalui penswastaan dan menjadi cip biru utama Pensyarikatan Malaysia dengan asset cakupannya daripada konsensi telekomunikasi dan rangkaian kereta api ringan hinggalah kepada lebuh raya utara-selatan yang baru dibina. Pada November 1997, United Engineers (Malaysia) Bhd. (UEM) [anak syarikat Renong yang mempunyai pegangan 37% dalam syarikat] mengumumkan rancangan untuk memperoleh 32.6% daripada Renong Bhd. Pada nilai RM 2.34b (USD 550m ketika itu). Pengumuman ini mencetuskan kejatuhan harga saham di Malaysia kerana pihak berkuasa membuat keputusan untuk mengecualikan UEM daripada membuat tawaran umum membeli saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti.” (m/s.87-88) Sivamurugan pula menulis mengenai Penaungan dan Kapitalisme Parti (merujuk kepada UMNO), Dasar Penswastaan digunakan untuk membentuk elit Melayu baru agar kumpulan tersebut boleh bersaing dengan kapitalis industri antarabangsa. Dengan keputusan tersebut, golongan korporat Melayu yang mempunyai rangkaian hubungan politik diberi peluang yang baik serta keutamaan berbanding dengan yang lain tanpa sistem tender terbuka. UMNO secara tidak langsung memiliki lebih 100 syarikat melalui beberapa individu yang menjadi nadi harapan UMNO dan hampir 11 syarikat di bawah kumpulan Renong di BSKL merupakan syarikat yang dianggap asset UMNO dengan pemegang amanahnya terdiri daripada Halim Saad dan Daim. Walau bagaimanapun, krisis kewangan Asia telah menyebabkan banyak sektor mengalami kerugian mendadak misalnya Renong yang memiliki hampir 15% dalam perniagaan pembinaan Negara yang terpaksa berhutang hampir 30 bilion terutama hutang UEM. Walaupun begitu, masalah ini diatasi selepas Khazanah Nasional Bhd mengambil alih 38% Renong dalam UEM. Kritikan yang dicatatkan oleh Sivamurugan juga menyatakan, ada yang beranggapan pakej bantuan yang diberikan pada waktu krisis itu adalah untuk individu atau syarikat tertentu yang mempunyai hubungan secara langsung dengan UMNO. Malahan ada yang menganggap keutamaan diberikan untuk mempertahankan asset UMNO seperti Renong berbanding pekerja yang terlibat. Walaupun begitu, Mahathir dalam buku ini berpendirian pekerja akan menjadi mangsa sekiranya syarikat-syarikat tersebut gagal beroperasi selain akan mengakibatkan kejatuhan kepada syarikat-syarikat kecil yang bersandar pada syarikat-syarikat tersebut. Idea “Too Big Too Fail” digunakan untuk menjustifikasi tindakan beliau terhadap ‘bantuan’ yang diberikan kepada syarikat-syarikat terlibat. Kritikan juga ditujukan kepada pembelian semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajudin pada waktu ini dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran berjumlah RM 1.792 bilion iaitu RM 8 per saham berbanding RM 3.62 per saham bagi harga pasaran hanya untuk mendapatkan 29.09% saham Naluri Bhd milik Tajudin. Dalam hal ini, Daim Zainudin menerusi Kementerian Kewangan terlibat dalam urusan negosiasi dan menurut beliau, harga itu adalah yang terbaik dalam usaha untuk menyelematkan syarikat penerbangan nasional. Menurut Mahathir, Tajudin melakukan percubaan untuk membeli 29% saham MAS dengan melakukan pertukaran saham dengan syarikatnya, Celcom pada tahun 1994. Walaupun begitu, ia berakhir dengan Tajudin melakukan pinjaman bank untuk pembelian saham tersebut. Kekeliruan kepada fakta mengenai perletakan jawatan oleh Gabenor BNM pada waktu itu terserlah dalam penulisan beliau, dibandingkan dengan penulisan Sivamurugan yang juga pro beliau. Dalam buku beliau, beliau menulis, “At the last minute, Anwar rang me to say that Tan Sri Ahmad Mohd Don, the BNM Governor and his deputy Fong had sent in their letters of resignation. I was shocked but I remained determined to go ahead.” Namun, Sivamurugan menulis, “Kedudukan Malaysia pada ketika itu agak kritikal, antaranya kerana tindakan lewat BNM yang mengambil keputusan terlalu lama sehingga menyebabkan kerugian USD 2 bilion dan ramalan pasaran tukaran mata wang asing yang kurang tepat. Beberapa langkah segera telah diambil, antaranya menghentikan perkhidmatan Gabenor BNM, Tan Sri Ahmad dan timbalannnya yang dianggap sebagai sekutu Anwar.” Pelajaran daripada krisis ini adalah penekanan harus diberikan kepada undang-undang dalam pasaran supaya kedudukan kewangan dalam negara tidak mudah diserang oleh unsur-unsur luar. Dasar liberalisasi ekonomi tidak membawa erti kebebasan dalam berpasaran tanpa diikat dengan undang-undang untuk merangsang pasaran supaya menjadi lebih sihat. Seterusnya, keadaan ekonomi juga tidak seharusnya bergantung kepada sektor tidak nyata seperti jual beli saham dan perdagangan mata wang (perkara ini difokuskan kepada mereka yang terlibat secara agresif dalam kedua-dua bidang ini) kerana dengan menganggap wang itu seperti komoditi hanya akan mengakibatkan kecelaruan kepada situasi ekonomi sebenar. Meminjam kritikan Mahathir terhadap perdagangan mata wang, Ketika mana penduduk Brazil melihat harga kopi terlalu rendah, mereka membuangnya ke dalam laut untuk meningkatkan harga kopi. Perkara ini memenuhi kaedah penawaran dan permintaan. Semakin sedikit barang, semakin tinggi harga. Walaupun begitu, untuk mata wang, perkara ini hanya akan mengakibatkan situasi ekonomi lebih teruk kerana wang itu bersifat medium pertukaran. Sekiranya mekanisme kawalannya tidak tepat, akan mengakibatkan inflasi (kenaikan harga) atau deflasi (penurunan harga), dan kedua-dua ini adalah tidak baik untuk kesihatan ekonomi Negara. Deflasi walaupun mengakibatkan penurunan harga, akan membawa kepada kesan berganda, termasuklah penurunan gaji. Penurunan harga berbanding kos hanya akan mengakibatkan kerugian yang besar kepada sektor busines serta mempengaruhi situasi kredit dan simpanan dalam Negara. Apa yang menarik dalam perbincangan penulisan bab ini adalah pertembungan idea antara kedua-dua tokoh. Mahathir dengan gaya nasionalisnya manakala Anwar dengan gaya pasarannya, telah merencahkan gaya kematangan politik Malaysia pada waktu itu. Situasi pertelingkahan idea ini harus menjadi asas kepada pimpinan Negara untuk menerajui kemakmuran ekonomi. Namun, harus diingatkan, Mahathir sendiri mengakui, isu ekonomi ini lebih kompleks berbanding perubatan terutama dalam memperkenalkan mekanisme yang tepat pada waktu yang tepat sebagai ubat untuk merawat krisis pada waktu itu. Meminjam pandangan Alfred Marshall, “Although Marshall had borrowed tools from physics to analyze the interplay of supply and demand in individual markets, he had always insisted that economic phenomena more closely resembled biological than mechanical process.” Rujukan: 1) Mahathir Mohamad (2011) “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad”, MPH Publishing 2) Mahathir Mohamad (2003) “The Malaysian Currency Crisis: How and Why It Happened”, Pelanduk Publication 3) Phillippe Ries (2009) “The Asian Storm (Terj: Badai Asia: Kisah di sebalik Krisis Ekonomi Asia)” Institut Terjemahan Negara Malaysia 4) Sivamurugan Pandian (2005) “Legasi Mahathir”, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd 5) Mohd Hasbie Muda (2013) “Kemenangan yang Tertangguh”, Megamind Leadership Consultancy 6) Sylvia Nasar (2012), “Grand Pursuit, The story of the people who made modern economics”, London 7) Athi Shankar (June 3 2012) “Nor the main culprit behind forex scandal”, freemalaysiatoday/category/nation/2012/06/03/nor-the-main-culprit-behind-forex-scandal/
Posted on: Fri, 18 Oct 2013 02:05:16 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015