LEBIH RM3 JUTA RAMPASAN, KOMPAUN DIKUTIP DARI OPS LETUP TAHUN - TopicsExpress



          

LEBIH RM3 JUTA RAMPASAN, KOMPAUN DIKUTIP DARI OPS LETUP TAHUN LEPAS Kota Kinabalu, 24 Jan - Lebih RM3.3 juta nilai rampasan dan kompaun berjaya dicatat daripada operasi bersepadu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, melalui Ops Letup 4, tahun lalu, kata Timbalan Pengarah Kastam Sabah Hamzah Sundang. Beliau berkata jumlah itu meningkat sebanyak 17.3 peratus berbanding tahun 2012 iaitu lebih RM2.8 juta dalam usaha kedua-dua agensi berkenaan bekerjasama membanteras pembakaran mercun dan bunga api tanpa kelulusan terutamanya pada musim perayaan. Daerah Kota Kinabalu mencatat peningkatan hasil kutipan kompaun tertinggi iaitu sebanyak 54.45 peratus berikutan operasi bersepadu yang dijalankan sepanjang tahun lalu. (Kita juga) telah mendakwa 44 kes di bawah Akta Kastam 1967 serta tujuh kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut Hamzah misi operasi bersepadu berkenaan akan diteruskan tahun ini melalui Ops Letup 5 yang menyasarkan kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. Katanya Ops Letup 5 akan bermula pada 28 Jan hingga 1 Feb dan pihaknya dan anggota PDRM akan membuat rondaan bersama di kawasan taman perumahan dan kawasan perumahan di semua daerah di Sabah. Hamzah berkata, JKDM akan mengambil tindakan di bawah Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 terhadap mana-mana pihak mahupun individu yang didapati bermain bunga api dan mercun tanpa permit. Menurut Hamzah dalam Ops Letup 4 tahun lalu, pihaknya merekodkan 29 kes di Sabah melibatkan 20 tangkapan. Menjadi satu kesalahan memiliki mercun dan bunga api (tanpa permit) di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai terlibat atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, katanya. BERNAMA
Posted on: Fri, 24 Jan 2014 08:46:37 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015