MAKLUMAN : Penarikan balik produk susu keluaran ‘Fonterra - TopicsExpress



          

MAKLUMAN : Penarikan balik produk susu keluaran ‘Fonterra Co-Operative Group Limited’ dari negara New Zealand Oleh: Siaran Akhbar BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Ogos. - Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada para pengimport dan peniaga serta orang ramai mengenai penarikan balik tegahan pengimportan, pengedaran, dan penjualan produk-produk makanan keluaran ‘Fonterra Co-Operative Group Limited’ dari negara New Zealand. Maklumat terkini yang diperolehi melalui Ministry of Primary Industries of New Zealand (MPI) di mana beberapa keluaran produk ‘Fonterra Co-Operative Group Limited’ telah didapati positif mengandungi bakteria ‘Clostridium botulinum’ merupakan sejenis bakteria yang boleh mengeluarkan racun yang boleh menyebabkan mual, muntah-muntah, cirit-birit, lumpuh dan boleh membawa maut. Bakteria tersebut telah didapati di dalam tiga batch produk ‘Whey protein concentrate (WPC80)’ yang digunakan sebagai ramuan dalam produk-produk tepung susu anak damit. Bagaimanapun produk-produk susu segar, yoghurt, keju, ‘spreads’ dan susu UHT tidak terlibat. Produk-produk susu yang terbabit adalah jenama Nutricia Karicare Infant Formula Stage 1 (0-6 bulan) nombor batch 3169 dan 3170 (tarikh mansuh 17-06-2016 dan 18-06-2016) dan Karicare Gold+ Follow On Formula Stage 2 (6-12 bulan), nombor batch D3183 yang telah ditarik balik di negara New Zealand. Setakat ini, belum ada kes keracunan botulism telah dilaporkan yang disebabkan oleh produk susu tepung yang tersebut di atas di negara-negara di mana produk-produk tersebut boleh diperolehi. Berikutan penarikan balik ke atas produk ini, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan telah membuat pemantauan dan akan terus membuat pemeriksaan di pasar raya-pasar raya atau premis perniagaan tertentu bagi memastikan produk tersebut tidak ada di pasaran. Sehubungan dengan ini, Kementerian Kesihatan menegah para pengimport dan peniaga supaya tidak mengimport produk terbabit buat sementara waktu dan menarik balik (jika ada) dari pasaran serta menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan atau Pejabat-pejabat Kesihatan di daerah-daerah untuk dimusnahkan. Kementerian Kesihatan ingin juga menasihatkan supaya para pengguna yang memiliki produk terbabit (jika ada) untuk mengembalikan ke kedai-kedai di mana produk tersebut dibeli atau menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan atau Pejabat-pejabat Kesihatan di daerah-daerah untuk dimusnahkan. Kementerian ini juga memaklumkan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta (Kesihatan Awam) (Makanan), (Penggal 182), sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimpot makanan yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dipenjara selama 5 tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali. Bagi sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Pusat Pemeriksaan Kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Jalan Delima Dua, Berakas BB2313 dan di talian telefon: 2331100-5/06/08/09/10 serta nombor faksimile: 2331107 atau Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, di talian telefon: 2382559/2388074 serta nombor faksimile: 2388011. Kementerian ini akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai.
Posted on: Mon, 05 Aug 2013 15:10:49 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015