MUST READ!!!! Mistik kucing hitam era Ngap Sayot HEBOH - TopicsExpress



          

MUST READ!!!! Mistik kucing hitam era Ngap Sayot HEBOH seluruh negara terhadap gelagat seekor kucing putih bertompok yang dirakam aksi menyahut panggilan alam dalam siaran langsung pertandingan bola sepak separuh kedua Piala FA antara Pahang melawan Johor DT pada Selasa lalu. Memang melucukan, malah ada yang bertanya mengapa jurukamera Awani Sukan sengaja menyorot aksi kucing tersebut. Kucing itu menjadi perhatian ramai. Ada juga yang bertanya kenapa kucing itu tidak diberi makan anak ikan? Ada juga yang memberi teori kepercayaan tahyul. Seorang sahabat yang berbicara menerusi WhatsApp mengaitkannya dengan kucing hitam di zaman kegemilangan Ngap Sayot pasukan Sarawak pada penghujung 1980-an. Perbualan tersebut cukup relevan kerana saya sememangnya berada di dalam Stadium Negeri Sarawak, 25 tahun yang lalu semasa perlawanan Sarawak menentang Kedah. Ya, saya turut menyertai ribuan penyokong melompat pagar dan memasuki padang sebagai membantah mutu pengadilan yang berat sebelah. Perlawanan kedua-dua pasukan begitu sengit. Kedah adalah juara bertahan. Sementara Sarawak baharu bangkit sebagai pasukan digeruni. Yang saya ingat, jurulatih Awang Mahyan Awang Mohamad menyerbu masuk ke padang bertekak dengan pengadil. Susulan daripada itu, keributan berlaku. Orang sekeliling menjerit-jerit ke arah pengadil. Dan sejurus mengetahui perlawanan dihentikan, kelihatan penonton memasuki padang dari segenap penjuru stadium. Gerombolan kami yang rata-rata di tingkatan empat dan lima, pun tumpang sekaki. Tapi tidak sampai pun ke tengah padang, orang-orang di hadapan kami berpatah balik dan bertempiaran lari. Rupa-rupanya FRU sudah masuk. Kami kembali ke kawasan tempat duduk dengan riuh-rendah berterusan. Beberapa ketika kemudian, arahan daripada pembesar suara meminta penonton bertenang dan keluar dari stadium. Ramai tidak berganjak. Suasana memang panas. Perlawanan tersebut sebenarnya sudah melepasi tengah malam setelah beberapa kali dihentikan sebelum pengadil memutuskan untuk menangguhkannya sama sekali. Di dalam kereta kemudiannya, siaran radio nasional RTM sudah tamat jam 12 tengah malam. Zaman itu tiada siaran 24 jam. Tiada TV3. Terperangkap dalam kesesakan keluar dari kompleks stadium tersebut melepasi jam 1 pagi, mendorong kami memasang kaset lagu popular ketika itu Mun Masih Mudak dendangan Safar Ghafar. Berulang kali. Kekecohan di Stadium Negeri itu mendapat liputan luas di semua akhbar. Sama seperti kekecohan di Pahang minggu ini. Laporan yang disiarkan menyalahkan penyokong Sarawak yang mengundang bantahan besar-besaran merangkumi tindakan memboikot dan tunjuk perasaan serta membakar akhbar-akhbar arus perdana. Saya tidak terbabit dalam tindakan seumpamanya sebab bapa adalah pembaca setia Utusan Malaysia. Malah, penulis berita sukan yang hangat mengenai insiden tersebut kemudiannya menjadi rakan sepejabat saya! Atas sebab di atas jugalah setiap kali bila ada sahabat yang menyebut perihal Ngap Sayot, saya senyum dan kata, Awak sedang bercakap dengan generasi Ngap Sayot tulen. Apa makna slogan Ngap Sayot? Pelbagai versi telah dikemukakan termasuk kononnya berasal dari bahasa orang Penan. Tetapi bila ditanya kepada orang Penan, mereka pun tercengang kehairanan. Perkataan Ngap itu pun bukannya ada dalam daftar rasmi istilah mana-mana bahasa kumpulan etnik di Sarawak, sebaliknya lebih kepada bahasa pasar bermaksud menggigit. Sayot pula selama ini saya fahami sebagai bermakna binasa. Maka ayat ditutur ialah Kelak kena Ngap. Sayot sidak ya (kelak kena gigit, binasa mereka). Tetapi Awang Mahyan, selaku pencipta slogan ini menerangkan ia hanyalah bermaksud gigit sayur iaitu melawan pasukan lain semudah memakan sayur. Paduhal, kenak sik padah awal-awal? Zaman Ngap Sayot iaitu antara 1988 hingga 1990, boleh dianggap sebagai detik kebangkitan pasukan bola sepak Sarawak, baik daripada segi prestasi permainan mahupun kemudahan. Saya masih ingat dibawa bapa menonton perlawanan bolasepak di Padang Jubilee di Padungan. Pasukan Sarawak ketika itu merupakan pasukan belasahan. Rasanya, semua pasukan lawan tidak sabar-sabar datang ke Kuching untuk menambah koleksi jaringan peribadi. Kemunculan Awang Mahyan sebagai jurulatih Sarawak pada 1988 boleh diibaratkan fenomena menyerupai Jose Mourinho di Chelsea. Awang Mahyan adalah superstar nombor satu dalam skuad, dipatuhi pemain dan disanjung penyokong. Semua tahu sikap berani matinya yang terjun dari Jambatan Gantung Satok (sudah dirobohkan) sebagai meraikan kelayakan pertama kali skuad ke separuh akhir Piala FA. Beliau bersama skuad dan kira-kira 150 penyokong terjun beramai-ramai ke Sungai Sarawak. Dia menggabungkan elemen praktikal dan mistikal dalam metodologi menguruskan pasukannya. Sistem permainan yang diamalkannya membentuk jati diri Ngap Sayot iaitu bermain dengan sepenuh hati, sekeras yang boleh dan capai kemenangan. Awang Mahyan juga menggunakan elemen perang psikologi yang luar biasa membabitkan haiwan seperti ayam jantan dan kucing hitam. Seandainya anda hairan bagaimana kucing putih tompok boleh masuk ke padang stadium di Pahang, percayalah bahawa kucing itu tidak mungkin masuk sendirian. Di zaman Ngap Sayot, kucing hitam telah dibawa masuk dan dibiar melangkah masuk ke padang. Kelibatnya dirakam kamera. Tersiar di dalam akhbar dan televisyen. Orang mula berkata-kata. Senario tersebut mencetuskan kecurigaan bahawa Stadium Sarawak dipenuhi ilmu hitam, sekali gus menggentarkan pemain lawan, yang bukan calang-calang handalnya di zaman itu. Seorang pemain skuad Ngap Sayot, Ruslan Mustapha yang dikenali dengan nama manjanya, Lembeng merupakan pemain pertahanan yang kental. Beliau menyerupai Jamie Carragher yang baru bersara di Liverpool, daripada segi semangat dan keazaman. Perlawanan bersejarah Sarawak menentang Kedah pada 1988 itu, hampir mencetuskan ketegangan yang mencalar integrasi nasional. Harus diingat situasi politik tanah air ketika itu begitu panas. Di peringkat Pusat, UMNO baharu sahaja diharamkan. Di Sarawak, kerajaan pimpinan Pehin Abdul Taib Mahmud belum sembuh sepenuhnya dari cubaan menggulingkannya dalam Peristiwa Ming Court 1987. Komplot tersebut dipercayai mendapat sokongan pemimpin tertentu di Kuala Lumpur. Insiden bola sepak ini menambah buruk tahap kecurigaan di kalangan rakyat Sarawak ketika itu. Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mengumumkan keluar daripada FAM sebagai membantah layanan buruk terhadap pasukan dalam perlawanan di Kuching dan kemudiannya di Kuala Lumpur yang menyaksikan pemain Sarawak dikasari oleh pasukan beruniform. Integrasi nasional berkocak. Wartawan Semenanjung yang bertugas di Kuching, terpaksa ditemani rakan sepejabat orang tempatan untuk ke mana-mana. Ketegangan itu hanya mengendur apabila format semi-profesional diperkenalkan dalam liga bolasepak Malaysia dan jurulatih Australia, Alan Vest mengambil alih. Bagi kebanyakan rakyat Sarawak, peristiwa Ngap Sayot itu sekadar insiden masam-masa manis yang telah berlaku 25 tahun lalu. Peristiwa itu mungkin boleh dijadikan pengajaran bahawa persaingan dalam arena sukan tidak harus menjadi faktor memecah-belahkan integrasi nasional. Apa pun, gegak gempita liga bola sepak tempatan kita ini diharap diterjemah ke skuad nasional dan menjuarai Piala AFF tahun depan. Salam Ngap Sayot dari saya di Bumi Kenyalang.
Posted on: Sun, 26 Jan 2014 08:57:53 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015