Nafi laut Mersing dicemari sisa industri NUSAJAYA 22 Ogos - - TopicsExpress



          

Nafi laut Mersing dicemari sisa industri NUSAJAYA 22 Ogos - Kerajaan negeri menafikan dakwaan sesetengah pihak pencemaran laut di sekitar kepulauan Mersing berpunca daripada pembuangan sisa industri. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa menjalankan pengawasan kualiti air marin di enam stesen di sepanjang pantai Mersing. Beliau berkata, pemantauan itu melibatkan kawasan Teluk Mahkota, Tanjung Leman, Pantai Sri Pantai, Teluk Gorek, Pantai Air Papan, Kuala Sungai Mersing dan Pulau Setindan. "Jarak pulau di perairan Mersing dari tanah besar melebihi lima kilometer dan berdasarkan rekod JAS, terdapat 13 punca industri di daerah itu dengan tujuh daripadanya melepaskan sisa dan enam premis lagi tidak menghasilkan sisa. "Premis berkenaan melepaskan sisa terawat ke dalam sungai dan tidak mengalir terus ke laut. Sehubungan itu, pelepasan sisa industri bukan punca yang menyebabkan pencemaran paras logam berat yang tinggi seperti didakwa sesetengah pihak," katanya semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini. Ayub berkata, piawaian bagi kualiti air marin adalah dua mikrogram per liter sedangkan paras kualiti ar marin di stesen pantai Mersing itu hanya di bawah satu mikrogram. "Jelas sekali kajian pihak berkenaan berkaitan pencemaran air laut sebagai dakwaan yang tidak berasas," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak menggalakkan pembinaan pusat pengumpulan hasil tani berbentuk kekal kerana dikhuatiri penggunaannya hanya bersifat sementara. Beliau berkata, kebanyakan pusat pengumpulan sedia ada berbentuk sementara dan mudah alih seperti menggunakan kanopi supaya boleh dipindahkan ke kawasan lain sekiranya diperlukan. "Penubuhan kemudahan itu bertujuan membangunkan rangkaian infrastruktur pasaran ke arah meningkatkan keberkesanan pengedaran bekalan makanan negara dalam pengurusan rantai bekalan makanan. "Kita amat mengalu-alukan cadangan untuk mewujudkan pusat pengumpulan tanaman di Sagil, Ledang yang akan dilaksanakan sekiranya terdapat permohonan dan keperluan daripada para petani di kawasan itu serta lokasi yang sesuai untuk dibangunkan," katanya.
Posted on: Thu, 22 Aug 2013 22:54:52 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015