ORANG YANG BERTAHAN SEHINGGA AKHIR AKAN DISELAMATKAN. Masa - TopicsExpress



          

ORANG YANG BERTAHAN SEHINGGA AKHIR AKAN DISELAMATKAN. Masa Adven yang kita sambut Mulai 1Disember Ahad ini memberi kita kesempatan skali lagi mengenangkan dengan gembira mengenai dua peristiwa kedatangan YESUS ke dunia ini. Kedatangan-Nya yg pertama berlaku apabila Dia menjadi manusia melalui persetujuan Bonda Maria (Lukas 1:38, Yohanes 1:14) Kedatangan-Nya yang kedua kali akan berlaku pada hari kiamat di mana Dia akan datang mengadili orang hidup dan yang mati. Kedatangan Yesus yang pertama membawa harapan kepada manusia bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan dibawah bayang maut (Lukas 1:78-79). Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita( Yohanes 1:14). Namun pada kedatangan-Nya yang kedua kali nanti bagaimanakah keadaan kita pengikut-pengikut-Nya? Adakah Anak Manusia akan menjumpai orang yang percaya kepada-Nya di bumi ini, apabila Dia datang?(Lukas 18:8). Inilah satu cabaran dan peringatan bagi kita pengikut-pengikut Yesus. Saya percaya Tahun Iman yang sama-sama kita hayati selama satu tahun (2012-2013) telah banyak menyedarkan kita perlunya kita mensyukuri iman kristiani kita, kurnia dari sendiri yang adalah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan (Yohanes 14:6). Tahun iman juga merupakan satu kesempatan bagi kita untuk mensyukuri dan mengingati para Uskup, Paderi, Katekis dan para Pemimpin Awam yang telah membantu kita dalam mengenal Khabar Gembira serta menyediakan asas-asas Iman yang kita perlukan sehingga kita tetap dapat hidup bersatu dengan Yesus selaku anggota-anggota Gereja-nya. Namun kita juga menyedari bahawa pada masa ini Iman Kristiani kita sedang menghadapi banyak cabaran dari pengaruh-pengaruh budaya hidup materialisme, pluralisme, ekstremisme, dan sebagainya yang mendorong manusia mengetepikan Tuhan dan tidak menghormati hak asasi sesama manusia. Pergolakan yang sedang berlaku di dunia masa kini seperti krisis politik, penganiayaan agama, keruntuhan akhlak dan sebagainya sangat membimbangkan dan sudah tentu boleh melemahkan Iman seseorang. Sepanjang masa Adven tahun ini adalah satu kesempatan rahmat bagi kita untuk mengambil usaha memfokuskan kembali kepada dasar iman kita iaitu peribadi Yesus, ungkapan jaminan kasih dan pendampingan bagi kita selama-lamanya(Matius 28:20). Dalam menghadapi realiti hidup selaku pengikut-pengikut Yesus kita sentiasa mengingati pesan-pesan-Nya yang bersifat peringatan, Sesiapa hendak mengikuti Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikuti Aku (Lukas 23) Perjalanan hidup dan Iman kita sentiasa menghadapi berbagai-bagai cabaran. Yesus sendiri mengingatkan kita, semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku, tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. (Markus 13:13) Kita sama-sama hayati masa Adven ini agar kita sentiasa yakin dan berbangga dengan Iman kita kepada peribadi Yesus. Dia datang ke dunia sebgai Cahaya, supaya tiap-tiap orang percaya kepada-Nya tidak tinggal dalam kegelapan. (Yohanes 12:46). Namun kita juga perlu menyedari dan berwaspada agar sepanjang masa Adven kita tidak tunduk dan dibuai oleh persiapan-persiapan dunia dalam menyambut Krismas dan hujung tahun yang lebih bersifat konsumerisme. Semoga masa Adven ini membantu kita lebih dapat mengenal dan menyambut Yesus, Cahaya yang menerangi perjalanan hidup kita seterusnya(Yohanes 1:9-11). Selamat menjalani masa ADVEN. - By: Bishop Datuk Cornelius Piong -
Posted on: Fri, 29 Nov 2013 16:45:27 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015