PAS kesal penjenayah menjadikan isu agama sebagai bahan untuk - TopicsExpress



          

PAS kesal penjenayah menjadikan isu agama sebagai bahan untuk menghalalkan tindakan mereka dengan menjadikan bukan Islam sebagai sasaran mereka mengulas kes seorang pemuda bukan Islam, Ng Mun Tatt yang yang diculik, dikasari dan diconteng dengan kata-kata ‘saya hina Islam’, baru-baru ini. Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil mengingatkan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di atas isu yang berlaku sehingga mengheret isu agama dalam perbuatan jenayah mereka. “Pemuda PAS menganggap kejadian ini sebagai suatu jenayah yang tidak boleh diterima dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. “Mereka ini sebenarnya wajar ditangkap dan diadili dengan hukuman setimpal kerana merosakkan kemuliaan agama Islam serta perpaduan masyarakat di negara ini,” katanya. Khairul Faizi menganggap tindakan ini dilakukan oleh “penjenayah bertopengkan agama”. Ng menafikan menghina Islam, sebaliknya beliau menjadi mangsa kumpulan menangkapnya dan menconteng kata-kata itu di badannya untuk mengelirukan individu yang mahu membantunya. Beliau berkata, sekumpulan pemuda yang memukul dan mencederakan Ng itu sebenarnya menjatuhkan maruah dan menghina Islam serta menyebabkan masyarakat memandang serong dan menaikkan kemarahan masyarakat terhadap agama Islam. “Islam amat mementingkan keharmonian, keamanan dan keselamatan semua warganya. “Setiap warganegara sama ada beragama Islam mahupun tidak perlu dibela selama mana mereka menghormati nilai keamanan dalam negara ini,” katanya. Tambahnya, tidak ada individu yang boleh dikasari, dipukul atau dicederakan hanya semata-mata individu itu suspek menghina Islam. “Islam menghormati amalan agama lain sebagaimana itu juga yang dituntut oleh penganut agama lain terhadap Islam,” katanya. Katanya, kes yang berlaku ke atas Ng sebenarnya tidak ada kaitan dengan pasangan yang menghina Islam iaitu Alvin Tan dan Vivian Lee. “Pasangan ini dengan jelas menyatakan kebencian dan penghinaan terhadap agama Islam serta kemuliaan bulan Ramadan melalui laman sosial dan mereka wajar dihadapkan ke mahkamah atas tindakan mereka,” katanya.
Posted on: Fri, 19 Jul 2013 12:28:02 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015