SYAIR ERTI MERDEKA Wahai teman dengarlah syairku, Di bumi bertuah - TopicsExpress



          

SYAIR ERTI MERDEKA Wahai teman dengarlah syairku, Di bumi bertuah inilah negaraku, Bulan Ogos sejarahnya berlaku, Bumiku merdeka tercatat di buku. Negara Malaysia bumi berdaulat, Sejarah terpahat jangan berkulat, Kemerdekaan Malaysia tanpa kelat, Andai tak dipelihara tentulah ralat. Malaysia merdeka tidak dijajah, Bersatu rakyat bahagia di wajah, Ekonomi Melayu naikkan darjah, Mereka maju sudah berkenjah. Atas semangat Satu Malaysia, Slogan keramat usah dipersia, Sepakat bersatu di semua usia, Budi pekerti semolek manusia. Meski bangsa sudah merdeka, Di hati hamba masih berduka, Nasib bangsaku masih terleka, Berpalit dengki juga sengketa. Mahathir dulu pernah berkata, Mudahlah terlupa Melayu kita, Berubahlah laku inilah kupinta, Bergerak maju jangan meminta. Usah dibangga ketuanan Melayu, Ekonomi bangsaku kelihatan layu, Bangkit Melayu meskipun merayu, Cubalah mengelak merayu-rayu. Simbol Merdeka bendera dikibar, Gugah semangat berkobar-kobar, Sejarah Malaysia wajar dikhabar, Jati diri bangsa bertambah lebar. Jalur Gemilang maruah negara, Perlulah dikibar serata menara, Setiap premis jelasnya tertera, Simbol semangat api membara. Kita merdeka ke lima puluh enam, Erti kemerdekaan mesti tertanam, Gelombang liar remaja terjunam, Jikalau dibiarkan negara jahanam. Remaja pasca merdeka dibuai hiba, Tidak bermakna merdeka didamba, Dadah membelit Melayu beremba, Kemelut sosial merisaukan hamba. Skop merdeka perlulah diperinci, Nescaya Malaysia tidaklah dicaci, Walau merdeka minda terkunci, Agama rasminya Islam yang suci. Tamatkan sudah syairku menari, Pengertian merdeka usahlah lari, Nukilan karyaku tidaklah bestari, Semoga sesuatu dapat dipelajari. Ilham rasa, PAUZI MOHD ISA, Bidor,Perak. 25.8.2013 (Ahad), Jam 7.00 pagi.
Posted on: Sat, 24 Aug 2013 23:38:45 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics





© 2015