KEKURANGAN BUKAN ALASAN UNTUK TIDAK MENCAPAI KEJAYAAN, KATA - TopicsExpress



          

KEKURANGAN BUKAN ALASAN UNTUK TIDAK MENCAPAI KEJAYAAN, KATA NOORILHAM PULAU PINANG, 1 September 2013 – Bapa dan adik-adik sentiasa membantu membacakan buku kepadanya sejak kecil untuk membolehkan dia menjejak kaki ke universiti terutamanya ke USM yang dihasratkannya sejak di bangku persekolahan. Demikian kegigihan dan kesungguhan pelajar cacat penglihatan, Noorilham Ismail,23 yang menjadi antara 4,684 pelajar yang mendaftar di desasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) untuk kemasukan 2013/2014 yang hari ini. Beliau yang hilang penglihatan sejak berumur lapan tahun akibat demam panas dipilih mengikuti pengajian Sejarah walau pun minat utama beliau ialah Ekonomi melahirkan rasa syukur diterima masuk ke USM kerana telah bercita-cita untuk belajar di sini sejak di Tingkatan 1. “Saya doakan beliau dapat menyesuaikan diri di sini dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya,” kata ibu Noorilham, Salmah Kassim. Tambah beliau, Noorilham pernah berputus asa di atas nasib yang ditimpa beliau, namun setelah enam tahun tidak bersekolah beliau sedar akan kepentingan ilmu dan terus memasuki Darjah 5 pada usia 14 tahun. “Walaupun dulu saya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, namun saya akur dengan nasib dan keadaan saya. Kini saya juga mahu menjadi seorang ahli Ekonomi yang dikenali pada masa hadapan mengambil inspirasi dari tokoh akademik dan ahli ekonomi Allahyarham Profesor Ismail Salleh dan kehebatan idola Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Noorilham. Ketika menyuarakan hasratnya kepada Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman untuk menukar kursus dari Sejarah ke Ekonomi, Noorilham menyatakan minatnya yang mendalam untiuk suatu hari dapat betbuat demikian. “Kita akan berusaha, namun jika tidak dapat, Noorilham bolehlah nanti mrmbuat pengkhususan minor dalam bidang Ekonomi dan melanjutkan pengajian yang lebih tinggi dalam bidang tersebut,” kata Omar yang ingin melihat dengan serius hasrat anak muda tersebut. Noorilham yang ditawarkan biasiswa Sime Darby adalah seorang anak peneroka FELDA, Ismail Jaffar dari Felda Lok Heng, Kota Tinggi. Bapanya sanggup membantu membacakan buku-buku kepada beliau untuk direkod dan untuk ulangkaji. Selain Noorilham, adiknya juga akan mendaftar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada minggu hadapan. “Oleh kerana kedua-duanya diterima masuk ke IPTA serentak, kami harus berikhtiar untuk memenuhi keperluan-keperluan mereka sesempurna mungkin,” kata Ismail yang pertama kali menjejakkan kaki ke Pulau Pinang dan menyewa teksi dengan tambang sebanyak RM800.00 pergi dan balik. Timbalan Naib Canselor, Profesor Adnan Hussien menawarkan bantuan singkat kepada Noorilham bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga serta dapat membeli keperluan-keperluan lain yang belum mencukupi. Turut diterima masuk ke USM dalam bidang Pengurusan adalah sepasang kembar, Kalyanee dan Kanchana Siva Sanker yang begitu minat dengan bidang perniagaan. Menurut Kanchana, satu hari nanti beliau dan kakaknya ingin bekerjasama dalam perniagaan restoran makanan India. Selain pasangan tersebut, Omar Ismail, 62 tahun yang juga akan mengikuti kursus Pengurusan adalah satu-satunya warga emas yang mendaftar di sini pada tahun ini. USM pada tahun ini menerima tujuh orang kelainan upaya (OKU), 44 orang pelajar antarabangsa, 16 warga sukan dan dua orang warga budaya. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa dan Yong Check Yoon.
Posted on: Sun, 01 Sep 2013 06:25:59 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015