Tertindas di tempat asal sendiri... Fitnah Pemerintah - TopicsExpress



          

Tertindas di tempat asal sendiri... Fitnah Pemerintah Bukhara Selepas menghadapi masalah di Naysabur, kemudiannya al-Rayy, beliau terpaksa keluar dari Al-Rayy lalu menuju ke tanah airnya Bukhara. Namun, hari – hari indah baginya sangat singkat berlalu kerana sambutan hangat yang diberikan oleh masyarakat tempatan sekali lagi diracun oleh sepucuk surat berbisa daripada Muhammad bin Yahya al-Zuhli kepada pemerintah Bukhara iaitu Khalid bin Ahmad al-Zuhli wakil Kerajaan al-Taheriyyah ketika itu yang kebetulan menyimpan dendam kepada Imam al-Bukhari. Kehadiran surat itu seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Apa yang terjadi sebenarnya diceritakan oleh Abu Sa’id bin Bakr bin Munir bin Khalid bin ‘Askar bahawa Khalid bin Ahmad al-Zuhli, pemerintah Bukhara menghantar utusan kepada Imam al-Bukhari menitahkan agar beliau datang membawa Kitab al-Jami’, al-Tarikh dan selainnya ke istana dan memperdengarkan ilmu-ilmu itu kepadanya dan ahli keluarganya sahaja. Beliau merasakan ia adalah satu penghinaan kepada ilmu hadis lalu membalas jemputan itu dengan berkata kepada utusannya: Aku tidak akan menghina ilmu ini dan tidak akan membawanya ke pintu-pintu rumah pembesar. Jika dia berhajat sesuatu dari ilmu maka hadirlah di majlis ilmuku di masjid atau di rumahku. Jika tidak bersetuju demikian, maka dia adalah Sultan – dia berkuasa menghentikan majlis ilmuku sehingga aku ada alasan kepada Allah pada hari Kiamat. Aku tidak mampu untuk mengehadkan pengajian ilmu ini hanya kepada sebahagian orang sahaja. Aku tidak pernah dan tidak akan menyembunyikan ilmu demi sabda Nabi Muhammad s.a.w.: {مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أُلْجِمَ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ} Maksudnya: “Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, jika dia menyembunyikannya maka dia akan dicambuk dari cambuk neraka.” - Hadis riwayat al-Tabrani. Insiden inilah yang menyebabkan hubungan di antara mereka renggang kemudiannya kerana jawapan beliau telah membuatkan baginda murka. Ia menyebabkan baginda Khalid bin Ahmad al-Zuhli berpakat dengan Harith bin Abu al-Warqa’. Dia seorang ulama besar yang masyhur dalam bidang Fekah mazhab al-Hanafi di Bukhara. Majoriti ulama terutamanya yang mendukung mazhab al-Hanafi di Bukhara pada ketika itu sangat ta’assub atau fanatik kepada ijtihad imam – imam mereka yang mengutamakan logik dan qiyas dan seakan menyamakan natijah ijtihad – ijtihad itu dengan status nas – nas wahyu. Contohnya fatwa mereka bahawa sekiranya dua (2) orang bayi menyusu dari susu kambing yang sama, mereka dikira saudara susuan. Kaedah ini bertentangan dengan kaedah golongan ahli Hadis seperti Imam al-Bukhari yang memartabatkan nas – nas wahyu atas segala sumber lain. Penemuan psikologi juga membezakan fungsi akal sebagai sumber atau perantara di antara maklumat mentah (cognition) berasal daripada stimulasi dari luar diri manusia seperti alam sekitar kepada maklumat yang telah diproses (perception) – yang telah ditafsirkan oleh seseorang, yang terbatas; berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang berbeza. Contoh mudah ialah penggunaan perumpamaan popular dalam bidang motivasi: Segelas air dituang separuh. Sebahagian responden akan mengatakan ia segelas air separuh penuh. Namun sebahagian lain akan mengatakan ia segelas air separuh kosong. Secara kasarnya, banyak penemuan moden lebih berpihak kepada kebenaran wahyu. Berbalik kepada perselisihan antara dua pihak tadi, faktor perbezaan kaedah ini berpunca dari perbezaan penerimaan yang terhasil melalui proses penilaian yang berbeza dari kedua – dua golongan itu terhadap ideologi Yunani yang mengutamakan akal fikiran dan logik dalam segala hal. Perlu diambil perhatian terhadap faktor pengaruh perbezaan budaya agama dan kepercayaan antara umat Islam dan bangsa Yunani yang bertuhankan Zeus dan banyak lagi tuhan – tuhan mitos lain dari ahli ‘keluarga’ tuhan Zeus Yunani itu. Bahkan terdapat tuhan yang terhasil dari hubungan tuhan dan manusia dalam kepercayan kuno mereka. Oleh itu, masyarakat moden Yunani amat berpegang kepada akal fikiran kerana syak kepada ajaran – ajaran pendeta mereka kadang – kadang tidak dapat diterima akal seperti tuhan berzina dan menghasilkan anak haram. Ideologi yang timbul itu adalah reaksi kepada masalah kredibiliti ajaran – ajaran kuno Yunani. Namun, akal sendirian banyak kekurangannya untuk mencapai hakikat kebenaran sesuatu. Contoh mudah mempersoalkan kredibiliti kaedah pena’akulan mantiq: Premis 1: Manusia berdosa melakukan zina. Premis 2: Satu daripada tuhan Yunani berzina. Kesimpulan: Tuhan itu manusia berdosa. Adakah akal boleh menghalang ketidaktenangan dan ketidakpuasan hati atau akal sendiri terhadap kesimpulan yang dicapai oleh kaedah ini? - Terutamanya bagi orang – orang Yunani beberapa kurun lepas yang majoriti umat manusia sezaman tidak dapat menerima keaiban zina secara total, di mana pesalah dibakar hidup – hidup? Namun banyak cara lain dalam kaedah ilmu kalam boleh mengelirukan akal itu sendiri lalu membuatkan manusia tertipu (mental/cognitive fallacy) lantas tertarik dan kagum dengan kaedah ini. Sebahagian yang lain pula sekadar ‘menelan’ apa sahaja yang dihidangkan kepada akal mereka. Mereka kemudiannya tergolong dari kalangan ahli al-Ra’y yang ekstrim yang sangat memusuhi ahli Hadis. Mereka menentang ajaran Hadis tentang isu membaca Surah al-Fatihah di belakang imam solat dan mengangkat tangan apabila berdoa. Hal ini memudahkan Harith bin Abu al-Warqa’ bersekutu dengan ulama – ulama lain di Bukhara membuat satu konspirasi menjatuhkan Imam al-Bukhari bersenjatakan isi kandungan surat yang diutus oleh Muhammad bin Yahya al-Zuhli bahawa Imam al-Bukhari telah berkata: ‘Lafaz al-Qur’an itu makhluk (hadith)’ – tidak bersifat qadim seperti salah satu daripada dua puluh (20) sifat wajib bagi Allah: Qidam. Sedangkan, al-Qur’an itu Kalamullah. Oleh yang demikian, orang ramai mula mengata dan memburuk – burukkan mazhab Imam al-Bukhari dan mencadangkannya dibuang negeri. Abu Bakar bin Abu Amru al-Hafiz melaporkan lantaran muslihat dan penganiayaan ini, pada suatu malam sebelum keluar dari Bukhara, Imam al-Bukhari telah berdoa kepada Allah agar mereka sedar akan kebesaran Allah S.W.T.: فقال: "اَلَلَّهُمَّ أَرِهِمْ مَا قَصَدُوْنِي بِهِ فِي أَنْفُسِهِمْ وَأَوْلاَدِهِمْ وَأُهَالِيْهِمْ." Maknanya: Dia (Imam al-Bukhari) bermunajat kepada Allah: “Ya Allah, tunjukkanlah (kebesaran-Mu) terhadap apa- apa yang telah mereka lakukan terhadap diriku pada diri mereka, anak – anak mereka dan ahli keluarga mereka.” Tidak sampai pun sebulan, Allah memakbulkan doanya, Baginda Khalid mendapat arahan dari titah perintah Baginda Sultan Dinasti al-Taheriyyah. Baginda dipanggil menghadapnya menaiki seekor keldai betina dan kemudian dipindahkan ke atas tunggangan keldai lain sebelum dia dihukum seperti yang masyhur diketahui iaitu dihina dan dipenjarakan di Baghdad atas titah perintah al-Muwaffiq anak kepada Khalifah al-Mutawakkil yang juga saudara Khalifah al-Mu’tamad kerana didakwa cuba menyerang kerajaan al-Taheriyyah dan menyokong Ya’kub bin al-Layth pemerintah Sajistan. Dia meninggal dunia dalam tahanan. Manakala Harith bin Abu al-Warqa’ telah diuji pada ahli keluarganya seperti yang jelas pada sifat gelarannya. Adapun seorang lagi daripada ulama yang beliau ada menyebut namanya juga telah diuji pada anak – anaknya dan Allah menunjukkan kekuasaan-Nya kepada mereka dengan ditimpa bala bencana.
Posted on: Mon, 01 Jul 2013 06:34:51 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015