Alkisah sepohon pokok durian beracun… Di Kampung Pagoh, - TopicsExpress



          

Alkisah sepohon pokok durian beracun… Di Kampung Pagoh, terdapat sebatang pokok durian yang menghasilkan buah yang isi keemasan yang keenakkannya tidak boleh dibayangkan. Akan tetapi, tiada seorang pun penduduk Pagoh yang berani memakan buahnya kerana ada cerita-cerita orang tua-tua yang menyatakan dalam masa 10 hari memakan buah daripada pokok durian tersebut orang tersebut akan mengalami kecelakaan. “40 tahun lalu, adik Pak Ghani dilanggar kereta 5 hari selepas makan buah durian tersebut. – kaki patah. Selepas itu, anak Pak Said juga masuk hospital selepas 3 hari makan buah durian tersebut tanpa sebab. Anak Makcik Ijat pula terjatuh motosikal 10 hari selepas makan buah durian tersebut dan banyak lagi… sehinggakan kalau tupai makan, ia juga akan terjatuh ke lantai … selepas itu, sampai sekarang tiada orang yang berani mencuba buah durian tersebut,” kata Isa, seorang penduduk kampung Pagoh. “Kalau tidak, sudah tentu kami penduduk Kampung Pagoh dah dapat durian runtuh daripada pokok durian ini kerana orang tua kami berkata buahnya terlampau lazat,” tambahnya lagi. Sentimen Kampung Pagoh pada pokok durian tersebut cukup tinggi – mereka menyifatkan pokok itu berpuaka, dan akarnya mungkin sedang menyedut sesuatu yang boleh mendatangkan malapetaka kepada sesiapa yang memakannya. Ustaz Rani yang baru pulang daripada mengaji di luar negara mendengar cerita daripada rakan sekelasnya mengenai pokok durian ini. Beliau terus datang melawat untuk mendapatkan kesahihan berita yang didengarinya. “Jangan pergi dekat, ustaz. Nanti akan sakit badan,” kata Isa yang tinggal paling berhampiran dengan pokok tersebut. “Ustaz, kami di sini dah hidup aman damai selama 40 tahun ini kerana tiada orang yang pergi kacau pokok tersebut. Jangan sentuh pokok tersebut, nanti penduduk kampung akan marah. Sentimen penduduk di sini sangat sensitif kepada perkara ini,” kata Isa lagi. Ustaz Rani pun bersenyum, “Kita geng 5 kaki 2, usah risau,” katanya kepada Isa secara bergurau. Ustaz Rani menyentuh pokok tersebut dan menggunakan jarum untuk mendapatkan sampel dari dalam batangnya. Kemudian Ustaz Rani juga mengutip buah durian dari lantai dan memakannya sambil mengambil seulas dua pulang untuk membuat experimen. Selepas 10 hari, Ustaz Rani, yang juga pakar kimia datang semula ke kampung Pagoh. “Ustaz ok ke? Ada apa-apa yang berlaku 10 hari lepas?” tanya Isa dengan para penduduk kampung yang datang melihat apa yang Dr Rani lakukan. “Selepas ustaz sentuh pokok itu, ada 10 orang demam di kampung Pagoh. Ustaz baliklah sahaja, jangan kacau hidup kami,” kata seorang penduduk pada Ustaz Rani. Ustaz Rani tersenyum. “Lihat laporan ini. Laporan ini menunjukkan pokok durian ini normal dan buahnya ok,” kata Ustaz Rani. “Macam mana nak percaya ustaz?” tanya Isa. Ustaz Rani mengeluarkan satu video menunjukkan beliau makan durian di bawah pokok durian puaka tersebut. Beliau makan sebanyak 3 biji. “Lihat ana, ana masih sihat tak ada apa-apa. Ana bukan makan seulas, tapi makan 3 biji durian,” kata Ustaz Rani. “Bagaimana pula ustaz nak jawab 10 orang yang demam selepas Ustaz datang…” tanya Isa lagi. “Mana 10 orang itu?” tanya Ustaz Rani. Para penduduk melihat sesama sendiri. “Siapa yang kata ada 10 orang yang demam?” tanya Ustaz Rani. Para penduduk melihat kepada pemuda yang ingin menghalau Ustaz Rani tadi. Tadi pemuda itu berkata beliau tidak tahu. “Ok tak apa. Ana ada cara untuk tentukan siapa yang kata 10 orang yang demam hari itu,” kata Ustaz Rani. Ustaz Rani membawa keluar satu topi berbentuk V. “Masukkan jari sampai ke hujung topi. Jika kamu ialah orang yang menyatakan 10 orang demam, ada benda yang akan mengigit jari kamu di hujung topi. Kalau bukan, tiada apa yang berlaku,” kata Ustaz Rani. Seramai 50 penduduk termasuk Isa mengambil giliran untuk memasukkan jari mereka ke dalam topi. Setelah semuanya selesai, Ustaz Rani bertanya ada sesiapa yang kena gigit – semuanya kata tiada. Ustaz Rani meminta semua penduduk menunjukkan jari mereka. “Semua jari yang menyentuh penghujung topi akan terkena warna merah… cuba lihat siapa yang tiada warna merah di hujung jari,” kata Ustaz Rani. Semua ada, kecuali Isa. “Dialah orang yang menyebarkan berita palsu bahawa 10 orang demam selepas ana beredar, sebab dia tak berani sentuh jarinya di penghujung topi. Selepas hari itu, ana hilangkan diri dan masuk ke kampung ini pada waktu tengah malam untuk melihat apakah yang tidak kena pada pokok durian. Ana terlihat Isa sedang mengumpul buah-buah durian yang jatuh untuk dijual di pasar dengan harga yang tinggi dan menggantikan buah-buah di lantainya dengan buah-buah durian yang murah. Selama ini, Isalah yang meniup khabar angin untuk menakutkan kamu semua untuk menjauhi pokok durian yang hebat buahnya ini. Kamu semua telah ditakutkan dengan sentimen sehingga tiada seorang pun berani mencari kebenaran di sebalik takbir,” jawab Ustaz Rani sambil menunjukkan rakaman video selama 10 hari yang beliau tinjau di Kampung Pagoh pada waktu malam. Muka hipokrit Isa akhirnya terbongkar dan begitulah tamatnya sentimen takut penduduk kampung Pagoh terhadap pokok durian puaka di tepi rumah Isa. Wahai anakku, Ingatlah, antara sentimen dengan kebenaran, engkau harus sentiasa berdiri di sisi kebenaran walaupun ianya pahit dan tidak selari dengan sentimen yang sedia ada. Jangan biar sentimen menjadikan seseorang lupa akan tugasnya mencari kebenaran yang disaran Tuhanmu. Senyum. Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
Posted on: Thu, 15 Aug 2013 13:41:47 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015