As-Salam. Salam Ramadhan Kareem saudara-saudari yang dirahmati - TopicsExpress



          

As-Salam. Salam Ramadhan Kareem saudara-saudari yang dirahmati Allah. Sesungguhnya kesyukuran yang tak terhingga patut kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih mengizinkan kita terus bernafas untuk melaksanakan ibadah puasa sedangkan ada dalam kalangan rakan-rakan kita telah dijemput ke pangkuannya. Seorang rakan sebaya saya Mohd Ali Mahat baru-baru ini kembali ke rahmatullah akibat masalah jantung. Saya dan saudara-saudaripun suatu hari nanti pasti mengikuti jejak beliau. Entah esok entah lusa. Al-Fatihah buat arwah Ali, bapa mentua saya, Mohd Juoi Bin Sukeri dan muslimin-muslimat yang kembali menghadap Allah Rabbul Jalil. Ramadhan Al-Mubarak sudah masuk hari ke-15. Bererti separuh Ramadhan telah kita lalui. Bagaimana kualiti Ramadhan kita? Hanya kita yang dapat menjawabnya. Tepuk dada tanya iman... Kita kini berada dalam satu fasa yang disebut oleh para ustaz-ustaz kita sebagai fasa pengampunan. Maka kesempatan yang terbuka luas kita gunakan sebaik mungkin untuk beristighfar dan memohon pengampunan dari Allah SWT. Hindari dari berkata yang sia-sia, mengumpat, mengeji, mencela dan mengadu domba. Malah baki Ramadhan yang tingga kita banyakkan melakukan qiamullail atau bangun malam. Malik Bin Dinar berkata, "Tidak ada yang tersisa daripada kelazatan dunia kecuali tiga perkara iaitu berzikir mengingati Allah SWT, qiamullai dan bertemu sesama saudara. Sayidina Umar Al-Khattab menyatakan bahawa orang yang melakukan qiamullail mendapat 5 kelebihan iaitu tergolong dalam kalangan orang yang soleh, dekat dengan Allah SWT, jauh daripada dosa, menghapuskan dosa dan menolak penyakit dari jasad. Malah pintu taubat dan pengampunan pasti diterima oleh Allah SWT terutama jika dilakukan pada sepertiga malam terakhir. Seperti yang disebut dalam hadis Qudsi; "Sesungguhnya Allah SWT turun setiap malam ke langit dunia ketika masih ada sepertiga malam terakhir. Malah pada sepertiga malam Allah menyeru: "Adakah ada orang yang berdoa maka aku akan perkenankan. Adakah orang yang memohon keampunan, maka aku akan ampunkannya." (Riwayat al-Bukhari & Muslim." Marilah sama-sama kita mengamalkannya agar dapat kita rasakan kekerdilan kita dan menyuburkan rasa kehambaan dalam diri. Kerana masa dan usia bukan kita yang memilikinya kerana ia adalah hak mutlak Allah SWT. Kita pun tidak pasti sama ada kita berpeluang untuk menghabiskan puasa Ramadhan pada kali ini ataupun Ramadhan kita kali ini adalah yang terakhir. Wallahualam....
Posted on: Wed, 24 Jul 2013 00:47:54 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015