Isteri Orang Orang Polis dan PERKEP : Harian - TopicsExpress



          

Isteri Orang Orang Polis dan PERKEP : Harian Metro Setempat Pengorbanan isteri tetap utuh, murni Oleh Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin Sudah terpahat di lakaran sejarah peristiwa sedih yang menimpa anggota dan keluarga polis ketika Subuh hampir menjelma pada 23 Mei 1950 di Bukit Kepong, Muar Johor. Keheningan pagi dengan hembusan bayu bertiup dingin tiba-tiba dikejutkan dengan tembakan seorang anggota polis yang berkawal sebaik terlihat seorang pengganas komunis memotong kawat duri yang memagari Balai Polis Bukit Kepong. Tembakan pertama itu detik permulaan tembakan bertubi-tubi kira-kira 200 pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong. Jangkaan mereka serangan itu akan berakhir dengan pantas ternyata meleset apabila mereka ditentang hebat dengan penuh jiwa perwira oleh anggota polis dan keluarga mereka yang kecil bilangannya. Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah pertempuran yang sengit itu memperlihatkan betapa isteri pasukan keselamatan sentiasa bersedia mengangkat senjata dan berjuang bersama-sama suami untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada jatuh ke tangan musuh. Biar berputih tulang jangan berputih mata! Apabila saya mengenangkan kembali peristiwa itu, terbayang di mata betapa besarnya pengorbanan seorang isteri anggota polis yang sanggup berkorban nyawa demi membantu suami mereka mempertahankan negara dari musuh durjana. Betapa semangat kepahlawanan seseorang wanita terserlah dalam keadaan yang amat mencabar ketika itu biarpun akhirnya gugur di medan pertempuran. Ancaman militan Parti Komunis Malaya berterusan walaupun negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pasukan Polis Hutan (PPH) digerakkan untuk menggempur mereka di hutan belantara hingga berbulan-bulan lamanya. Pasukan Polis Marin pula menjalankan rondaan di sungai dan perairan negara. Demikian jugalah dengan anggota lain khususnya dari Cawangan Khas. Mereka semua terpaksa meninggalkan anak dan isteri untuk jangka masa lama demi menjalankan tugas untuk kesejahteraan dan keselamatan negara. Pemergian pegawai dan anggota polis ini meninggalkan keluarga mewujudkan satu lagi bentuk pengorbanan yang terpaksa dipikul isteri. Ambil alih ketua keluarga Biarpun bukan melalui perjuangan mengangkat senjata sebagaimana yang berlaku di Bukit Kepong, tetapi pengorbanan isteri yang merangkumi tekanan perasaan menjadi ketua keluarga, menghadapi kerenah anak-anak sakit demam, persekolahan dan segala masalah yang lain sendirian tanpa kehadiran suami. Sepanjang penugasan di hutan mahupun di perairan, tiada suara didengari mahupun khabar berita yang diterima kecuali sesekali dimaklumkan oleh pihak atasan tempoh operasi dipanjangkan. Bayangkan di kala kepayahan mengandung, belaian suami tiada untuk meredakannya. Di saat genting menahan kesakitan melahirkan anak, mereka terus bersendirian. Setiap detik dan ketika isteri pegawai dan anggota polis ini tertanya-tanya sama ada suami mereka akan kembali dengan senyuman atau dikembalikan bersama kain kafan. Ancaman serangan musuh dan kehadiran pelbagai jerangkap samar merobek kaki suami menghantui tidur si isteri yang kepenatan seharian menjaga rumah tangga. Jika tiba-tiba kedengaran bunyi kenderaan polis di hadapan rumah sudah pasti ia akan menyebabkan jantung si isteri bergoncang kuat bimbang akan berita yang tidak baik dibawa. Walaupun ancaman komunis selesai, pengorbanan isteri pegawai dan anggota polis tetap utuh dan murni. Di zaman moden ini, setiap isteri warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan dan tanggungjawab mereka tersendiri dalam menjaga keluarga. Mereka sedar bahawa apabila memilih suami dari kalangan pegawai atau anggota polis, itu bermakna mereka turut ‘berkahwin’ dengan pasukan polis. Ini kerana bidang kepolisan menuntut pengorbanan yang besar dari mereka berikutan tugas suami yang tidak mengenal masa atau ketika, cuti umum atau hari perayaan, siang atau malam. Penjenayah pula bila bisa merobek dada suami dengan parang atau peluru berbisa. Menyentuh mengenai hari perayaan, sebagai warga PDRM ruang dan peluang untuk pulang berhari raya di kampung memang terhad. Ketika orang ramai bercuti balik kampung meraikan hari mulia, warga PDRM berpanas berhujan menjalankan rondaan menjaga keselamatan. Percayalah, majoriti warga PDRM jarang berpeluang balik ke kampung halaman menemui sanak saudara. PERKEP jaga kebajikan Pengorbanan ini dikongsi sama oleh isteri dan ahli keluarga yang tidak akan pulang ke kampung meninggalkan suami yang tidak dapat cuti kerana tugas. Berikutan keprihatinan kerajaan, fasiliti perumahan dan pejabat PDRM jauh lebih baik daripada dulu. Keselesaan yang dinikmati pegawai dan anggota polis membolehkan mereka memberikan tumpuan yang penuh terhadap tugas. Ini diperkukuhkan lagi dengan adanya Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) untuk menjaga kebajikan isteri yang ditinggalkan. Namun, usah lupa bahawa masih ada keluarga polis yang tinggal di kuarters yang kecil tanpa fasiliti moden sebagaimana yang dikecapi rakan mereka di bandar. Tanggungjawab PDRM adalah menyeluruh merangkumi seluruh pelosok tanah air. Tidak dapat tidak akan ada anggota polis yang ditugaskan di pedalaman jauh dari arus kemodenan. Isteri yang mengikuti suami bertugas di kawasan ini sebenarnya membuat pengorbanan yang besar kerana perlu menyesuaikan diri dengan tempat tinggal yang tidak seberapa serta kemudahan asas yang terhad. Kunci kekuatan suami adalah isteri. Apa gunanya berkeluarga jika isteri tidak sanggup berada di sisi suami hanya kerana kedaifan di kampung dan tempat tinggal di mana suami ditugaskan? Pengorbanan ini bukan sekadar untuk suami dan keluarga, tetapi negara kerana apa yang dilakukan itu menyumbang kepada kesempurnaan tugas suami. Sehubungan itu, marilah kita sama-sama menghargai jasa isteri pegawai dan anggota PDRM yang melakukan pengorbanan besar melalui pelbagai kepayahan menjaga keluarga di kala suami keluar menjalankan tugas. Penulis Timbalan Ketua Polis Negara Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05
Posted on: Mon, 07 Oct 2013 05:13:22 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015