Kementerian sedia platform berbahas 2013/10/07 Kuala Lumpur: - TopicsExpress



          

Kementerian sedia platform berbahas 2013/10/07 Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah mengatur program bual bicara di RTM dan BERNAMATV untuk semua enam calon Naib Presiden UMNO mengemukakan pandangan masing-masing menjelang pemilihan jawatan berkenaan, 19 Oktober ini. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang mengalu-alukan cadangan diadakan perbahasan serentak dalam kalangan enam calon itu, bagaimanapun berkata, ia perlu dibuat dalam bentuk forum yang membenarkan setiap calon mengemukakan pandangan. Cadangan perbahasan berkenaan disuarakan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam yang menganggap ia bersesuaian dengan transformasi parti itu dalam sistem pemilihan barunya. Pertahan jawatan Tiga penyandang Naib Presiden akan mempertahankan jawatan ialah Menteri Pertahanan merangkap Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Mereka akan dicabar bekas Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Pengerusi FELDA yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad serta Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. Bercakap kepada BERNAMATV dari Cannes, Perancis, Ahmad Shabery yang berada di sana untuk mengetuai delegasi industri filem negara, berkata RTM akan menampilkan enam calon itu secara serentak, manakala BERNAMATV pula akan menyiarkan perbahasan itu bermula jam 10 malam selama dua malam berturut-turut, pada 15 dan 16 Oktober. Ia didahului dengan tiga pencabar, iaitu Mukhriz, Isa dan Mohd Ali pada malam pertama, diikuti giliran ketiga-tiga penyandang jawatan pada malam berikutnya. BERNAMATV penyiar rasmi Ahmad Shabery berkata, BERNAMATV yang juga penyiar rasmi Pemilihan UMNO 2013, mengadakan lintas langsung dan program bual bicara sejak 21 September lalu ketika majlis penyerahan borang oleh calon. BERNAMATV kini menyiarkan dua program, iaitu Ruang Bicara dan Bicara Calon, masing-masing selama satu jam dan setengah jam pada 10 malam dan 11 malam setiap hari. Sesi temuramah berkenaan termasuk dengan calon ketua ketiga-tiga sayap. Ruang Bicara yang menampilkan calon Pemuda, Wanita, Puteri dan Majlis Tertinggi (MT), diadakan setiap hari mulai 30 September. Ia menampilkan dua atau tiga tetamu yang ditanya mengenai topik tertentu berkaitan politik, isu semasa dan ekonomi. Program Bicara Calon pula memberi peluang kepada calon ketiga-tiga sayap untuk mengemukakan pandangan masing-masing mengenai apa yang mereka akan lakukan jika terpilih nanti. Setakat ini, sebanyak enam episod Ruang Bicara telah disiarkan selain tiga episod Bicara Calon. Kedua-dua program itu akan disiarkan sehingga hari pemilihan ketiga-tiga sayap parti pada 12 Oktober dan pemilihan MT pada 19 Oktober. BERNAMATV juga akan menyiarkan secara langsung proses pengundian di dua UMNO bahagian pada 12 dan 19 Oktober. Ahmad Shabery turut menasihatkan calon sayap parti supaya datang ke pejabat BERNAMATV untuk merakam pandangan mereka. BH
Posted on: Mon, 07 Oct 2013 04:09:50 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015