Mengembalikan roh universiti Oleh: Saifuddin Abdullah Tarikh: - TopicsExpress



          

Mengembalikan roh universiti Oleh: Saifuddin Abdullah Tarikh: July 8, 2013 PADA 18 dan 24 Jun lalu, saya diundang sebagai ahli panel dalam dua forum berkaitan universiti kita, iaitu Forum CEO anjuran Yayasan Perdana dan Sidang Kemuncak Pendidikan Ke-17 anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI). Semua mengimpikan agar universiti kita menjadi ulung, tetapi apakah ciri-ciri sebenar sebuah universiti ulung? Adakah universiti menjadi ulung kerana berada di tangga teratas dalam penarafan universiti, kerana memenangi banyak pingat emas pertandingan antarabangsa, terkedepan dalam penyelidikan tertentu, atau kerana kecemerlangan pengajarannya? Soalan-soalan ini dilontarkan kerana sebahagian daripada kita seperti terlupa akan roh universiti. Terlupa ingatan Syed Naquib al Attas bahawa “Intipati sebenar universiti bukan bangunannya atau penampilan fizikalnya. Sesungguhnya, dalam sejarah mana-mana universiti, para pensyarah dan pelajar yang menuntut daripadanya adalah kandungan utama kewujudan universiti itu”. Maknanya, keulungan universiti bergantung pada budaya ilmu yang dihayati keluarga universiti itu. Kita bimbang jika tersasar daripada matlamat sebenar, lalu terperangkap dalam apa yang disifatkan Harry Lewis dalam bukunya, Excellence Without Soul, sebagai “kecemerlangan lompong”; atau masalah yang diutarakan Frank Furedi dalam bukunya, Where Have All the Intellectuals Gone?, iaitu keadaan AS kini yang kurang pemikir besar, sebaliknya diganti oleh peramal dangkal, pengkaji apologis dan pemutar isu. Sebahagian daripada kita terlalu asyik dalam fungsi-fungsi seperti: menjalankan program-program akademik yang diiktiraf agensi profesional dan akreditasi; melaksanakan kurikulum untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan; melakukan penyelidikan yang dibiayai pelbagai pihak; dan menjalankan aktiviti pengkomersialan. Fungsi-fungsi tersebut sah dan baik. Tetapi, pada masa sama, kita tidak boleh lupa akan fundamental universiti, seperti kebebasan akademik dan autonomi. Dalam konteks ini, universiti perlu bijak menyeimbangkan hubungannya dengan dua sektor penting, iaitu kerajaan dan perniagaan. Dengan kerajaan, kita diingatkan Henry Giroux melalui bukunya, The University in Chains, supaya universiti tidak mengiakan apa sahaja arahan kerajaan. Manakala dengan sektor perniagaan, kita diingatkan Derek Bok melalui bukunya, Universities in the Market Place, akan kesan-kesan negatif pengkomersialan universiti atau sebahagian aktivitinya. Mengapa perlu dikembalikan roh universiti? Ia kerana universiti tidak berjaya melahirkan graduan, intelektualisme dan penyelidikan yang diimpikan masyarakatnya, iaitu mereka yang seperti kata Stefan Collini dalam bukunya, What Are Universities For?, menilai universiti dengan ciri-ciri keilmuan, bukannya dari sudut pentadbiran dan kewangan. Sebab kini kebanyakan perbincangan mereka yang bertanggungjawab terhadap universiti berkisar isu-isu pentadbiran dan kewangan atau perkara-perkara yang bukan fundamental. Jarang terdengar perbincangan tentang perkara-perkara fundamental, tentang ilmu, budaya ilmu, masyarakat berilmu, serta bagaimana untuk hidup dalam dunia lebih baik, dan bagaimana meninggalkannya sebagai tempat lebih baik daripada masa kita mendiaminya. Justeru, kita perlu menghayati ciri-ciri fundamental yang menjadikan universiti itu ulung. Kita perlu bermula dengan definisi ilmu yang tepat. Menurut Syed Naquib al Attas, ilmu ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar. Ilmu daripada maklumat palsu bukan ilmu. Ilmu daripada maklumat benar tetapi tidak bermakna juga bukan ilmu. Soalnya, sejauh manakah kita mendidik pelajar dengan ilmu yang benar-benar ilmu? Selanjutnya, kita perlu menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud, terdiri daripada tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi; sentiasa menuntut, membangun, mengongsi dan menilai ilmu; dan setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu. Soalnya, sejauh manakah universiti kita benar-benar menghayati budaya ilmu? Tiada sesiapa punya semua jawapannya. Tetapi, percantuman semula Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menjadi Kementerian Pendidikan adalah pentas yang sesuai untuk menerokanya.
Posted on: Mon, 08 Jul 2013 12:37:11 +0000

Trending Topics



Bully person is spreading manure all around me- on a sultry humid
Community Tailgate September 13th – Volunteers Needed Green

Recently Viewed Topics




© 2015