Kedai Francais 1Malaysia Disarankan Diperluas Ke Kawasan Pinggir - TopicsExpress



          

Kedai Francais 1Malaysia Disarankan Diperluas Ke Kawasan Pinggir Kota KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pekan Artisan, pemaju resort pelancongan dan tempat tarikan berimpak tinggi, menyarankan supaya kedai francais 1Malaysia diperluas selanjutnya ke kawasan-kawasan pinggir kota untuk membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Rangkaian kedai konsep francais 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) dan Kedai Kain 1Malaysia (KK1M) harus diperluas bagi faedah rakyat. Meskipun kawalan harga bukanlah penyelesaian jangka panjang, namun inisiatif francais 1Malaysia akan memberi kelegaan sementara (kepada rakyat), kata Ketua Pegawai Operasi Pekan Artisan, Saifful Azhar Sabaruddin, kepada Bernama. Saifful Azhar berkata inisiatif itu membuktikan bahawa kerajaan sedang melakukan usaha yang serius untuk mengurangkan impak kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya bagi rakyat yang miskin dan memerlukan. Francais ini membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli barang runcit pada harga yang lebih murah dan meringankan beban kewangan mereka selain memberi lebih kesedaran kepada rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat terhadap pentingnya konsep 1Malaysia. Saifful Azhar juga menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memperluas Pasar Tani kerana pasar itu tidak harus dibuka hanya sekali dalam seminggu. Ia harus dibuka lebih daripada sekali seminggu, tegasnya. Pasar Tani merupakan platform yang sangat baik bagi pengeluar dan bagi pembeli membeli terus daripada peniaga, bukan melalui rantaian bekalan orang tengah. Jika rantaian bekalan ini tidak dapat dielakkan, kerajaan haruslah mengkaji rantaian bekalan keperluan harian dan memastikan kecekapan sistem itu, yang akan menghasilkan penjimatan atau sekurang-kurangnya mengekalkan harga, katanya. Bagaimanapun, kata Saifful Azhar, rakyat haruslah sedar bahawa sesetengah kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana ia berdasarkan penawaran dan permintaan serta keadaan cuaca.
Posted on: Wed, 19 Feb 2014 11:50:56 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015