Menangis setiap kali baca laporan audit Harakahdaily, 04 Okt - TopicsExpress



          

Menangis setiap kali baca laporan audit Harakahdaily, 04 Okt 2013 KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan segala macam perbelanjaan yang disifatkan sebagai tidak masuk akal ternyata memberikan kesan kepada emosi rakyat. Dalam satu surat pembaca yang dihantar kepada Harakahdaily, Ahmad Nazri Khamis mahu berkongsi rasa sedih tersebut dengan membandingkan ketirisan dan keborosan kerajaan dengan realiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah. Menurutnya, sebagai seorang rakyat Malaysia, beliau pernah berdepan dengan beberapa situasi sukar ekoran kekangan kewangan dan menyifatkannya sebagai perkara biasa yang sering dilalui golongan rakyat bawahan. "Apakah Pak Menteri sedar, sebagai rakyat Malaysia aku pernah menghadapi kereta kena tunda sebab kehabisan minyak, beli minyak RON95 dengan duit syiling, beli susu anak dengan berhutang, tidurkan anak di atas plastik kerana lampin kehabisan. "Aku juga pernah makan makanan hampir basi kerana kelaparan, berjalan kaki ke tempat kerja kerana kenderaan rosak, tidak dapat pulang berhari-raya kerana kekurangan wang dalam perjalanan, bekalan air kena potong sebab bil tertangguh dan pinjam telepon kawan kerana tiada top-up. "Apakah pak-pak menteri sedar? Semua yang tertera di atas adalah sedikit daripada masalah yang aku hadapi kerana kekurang sumber kewangan," katanya. Menurut beliau, walaupun kerja "macam mahu mati", pelbagai masalah lagi yang serius dihadapi oleh sebahagian rakyat negara ini kerana tekanan hidup disebabkan tidak cukup duit dan kenaikan harga barang. Lebih menyedihkan katanya, setiap kali membaca laporan audit yang didedahkan, ketirisan dan keborosan dalam pentadbiran kerajaan mencecah jutaan ringgit. Sedangkan katanya, wang itu jika diguna untuk bembantu rakyat tentu sekali dapat meringankan beban rakyat kebanyakan. "Setiap kali Laporan Ketua Audit didedahkan, setiap kali itu juga kami sebagai rakyat menangis tetapi sebaliknya pak-pak menteri yang diamanahkan jaga wang negara lain pula hujah mereka. "Menteri boleh kata “tiada pembaziran berlaku”. Aku sangat kesal dengan apa yang berlaku, Apakah pak-pak menteri sedar? "Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi melainkan berdoa, berdoa dan berdoa," rintihnya.
Posted on: Mon, 07 Oct 2013 06:35:33 +0000

Trending Topics




© 2015