Tajuk : Sedikit Teguran Di Hari Jumaat. Sebenarnya sudah lama - TopicsExpress



          

Tajuk : Sedikit Teguran Di Hari Jumaat. Sebenarnya sudah lama saya ingin bersuara kerana pada setiap hari jumaat perkara ini selalu datang bermain di benak fikiran saya.Saya jadi serba salah sebab saya bukanlah orang yang ahli atau layak memberi teguran ini semua , lebih-lebih lagi dalam bab agama. Tetapi saya merasakan ianya amat perlu biarpun bagi sesetengah orang lain perkara yang akan saya tulis ini adalah perkara yang remeh temeh. Mungkin banyak perkara yang ingin saya ketengahkan ini sudah menjadi biasa bagi kita semua.Namun marilah kita berbincang bersama-sama demi mencari kerehdaan Allah atas jalan kita.Bagi mereka yang banyak ilmu agamanya , janganlah malu atau kedekut untuk berkongsi ilmu di blog saya ini, semoga ianya memberi manfaat kepada saya dan setiap pembaca yang datang bertandang ke teratak FB saya.. Inilah juga saham yang akan kita bawa bila kita kembali ke alam akhirat nanti. Rasanya kali ini biarlah saya lebih fokus sedikit dalam mengutarakan perkara-perkara yang saya rasa perlu , jadi , marilah kita berbincang menggunakan urutan isinya saja seperti berikut : 1) Wudhuk. Ramai di antara kita yang membawa anak-anak kecil untuk solat Jumaat.Kadang-kadang anak itu tidak berwudhuk atau tidak tahu berwudhuk tetapi turut ikut serta solat bersama bapa mereka di saf dewasa. Jika kita perhatikan mereka berwudhuk sekalipun, mereka tidak mengambil wudhuk yang sempurna, anggota wudhuk tidak diratakan air mengikut syaratnya.Adakah ibubapa mereka telah benar-benar mengajar mereka , anak-anak kecil ini bagaimana cara berwudhuk yang betul? Mungkin anak-anak telah belajar dengan cara memerhatikan orang dewasa mengambil wudhuk, maka mereka akan mengambil fahaman mereka sendiri tanpa ilmu yang sah! Ini sangat bahaya! Kerana tidak sah sembahyang bila tidak sah wudhuk itu! Itu budak kecil, bagaimana pula dengan kita? Tahukah kita jenis-jenis air untuk berwudhuk seperti air mutlak, air mustakmal, air mutanajjis, air musyammas? Tahukah kita rukun rukun wudhuk itu ada 6 iaitu: niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga ke siku, Menyapu bahagian yang sedikit dari rambut atau kulit kepala, membasuh kedua kaki hingga ke buku lali, dan tertib. Tahukah kita mana anggota yang perlu dilalukan air sahaja atau mana anggota yang perlu digosok? Pernah dulu seorang guru mengatakan bahawa pada bahagian muka kita, kita hanya perlu lalukan atau sapu air wudhuk sebanyak 3 kali, tidak boleh menggosokkannya, oleh itu bagi mereka yang mempunyai janggut yang panjang atau agak tebal terlebih dahulu kena basahkan air di kawasan janggutnya barulah dilalukan air wudhuk itu sebanyak 3 kali.Itu sebab guru tersebut kata dia tak simpan janggut walaupun itu sunnah nabi.Itu pendapat dia dan saya tidak terus berpegang sepenuhnya pada pendapat dia, sebab bab janggut ni perkara sensitif , nanti ramai yang marah. Diharap ada pembaca semua boleh memberikan pendapat yang lebih baik dalam perkara ini.Ini hal ilmu, sila jangan politikkan isu ini dalam perbincangan kita. Selain itu ramai juga dari kita dan anak-anak kita yang tidak tahu cara bertayammun dan anggota Tayammun.walaupun negara kita kaya dengan air, tetapi perkara ini perlu juga kita ajar pada anak-anak kita agar mereka tahu. 2) Pengumuman dari Pak Imam atau Bilal. Biasanya sudah menjadi rutin setiap kali sebelum khutbah jumaat ada saja pengumuman.Kadang-kadang Pak imam atau tok siak kena fikir dulu apakah pengumuman itu betul betul penting atau tidak! Sebagai contohnya , beberapa hari yang lalu, saya bersolat Jumaat di Masjid besar Di pinggir bandar, antara pengumuman tersebut ialah : a) Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir tidak mampu untuk membayar yuran pengajian di sana, minta bantuan dan derma, kotak derma ada di pintu masjid. b) Kita ada satu program kem solat selama beberapa hari, dari pagi sampai waktu zohor di masjid ini untuk kanak-kanak. Sila daftar dengan segera bersama yurannya sekali. c) Bagi sesiapa yang ingin menderma untuk rakyat Afghanistan, wakil dari Negara Afghanistan datang memungut derma , ada duduk dekat pintu masjid, boleh derma lepas solat. d) Kepada orang yang mahu menyembelih haiwan korban sempena hari raya ini, hendaklah memohon Permit dahulu! e) Sembahyang sunat hari raya akan dibuat pada jam 8.30 pagi, diminta jemaah datang awal kerana kita ingin melakukan acara sembelihan korban pula selepas itu. Itulah beberapa contoh pengumuman yang masuk ke telinga kanan saya, ada lagi yang saya tak ingat atau telah bocor, keluar melalui telinga kiri saya! Mari kita renung sejenak pengumuman itu, samaada ia perlu atau tidak: Pengumuman (a) Rasanya tak perlu di umumkan di masjid , kerana dah ada pihak yang boleh menyelesaikannya.Mungkin itu dibawah urusan kementerian pelajaran atau jabatan kebajikan, tak perlu minta derma di masjid.Wakil rakyat juga boleh ambil peranan dalam kes ini.Duit projek yang terlebih sikit-sikit tu boleh dermakan, Bantu orang yang menuntut ilmu besar pahalanya. Pengumuman (b) pula bagus tujuannya dan boleh dibuat di masjid, kerana ia melibatkan program masjid itu, namun pengajar dan penganjurnya lebih berorentasikan wang, tapi itu tak kisah la, dunia sekarang ni , masuk tandas pun dah 50 sen kan! kalau niat mereka ikhlas, mereka boleh pahala lagi. Pengumuman (c) derma untuk rakyat Afghanistan ke, rakyat Palestin ke, mangsa bencana gempa bumi ke, ini dah selalu kita dengar.Tak perlu rasanya diumumkan di masjid. Memang rakyat negara kita baik sangat, tapi ada yang balas kebaikan kita dengan buluh runcing.Bab sedekah dan derma ni, kalau kita baca hadis Rasulullah , sebelum kita bagi kat orang jauh-jauh , kita kena tunaikan dulu tanggungjawab kita kepada ibu bapa kita, sanak saudara kita, jiran kita, anak yatim di sebelah rumah kita, janda – janda yang hidup susah dan ramai tanggungan? Rasanya ini yang perlu diutamakan dulu sebelum beri kat orang jauh jauh.Nak derma pada orang di negara lain , rakyat negara kita kena beres dulu. Tetapi ramai yang terlebih baca kitab dan hadis sehingga sanak saudara atau ahli keluarga kita pulak yang terlebih dapat, berlebih lebihan pulak! itu dah jadi kronisme namanya , atau ada yang tersalah tafsir antara hadiah dan rasuah pula! tak nak sentuh panjang la bab ni kat sini *Adakah pengorbanan kita itu benar-benar kerana Allah? Pengumuman (d) pula boleh la diterima, tetapi zaman nabi dulu kena ambil permit ke nak sembelih binatang korban??? Dah jadi trend sekarang ni orang pelihara lembu untuk dijual bahagian korban pada hari raya ! ada orang kampung yang pelihara lembu dan perkataan nak jual buat korban selalu bermain dibibirnya dari masa anak lembu itu kecik sampai cukup umur! Lembu pun stress dan depress memanjang bila mendengarnya! Jadi,baiklah kita fikir semula samaada kita nak buat bisness dan kaut untung ke atau kita nak berkorban? Ini dua perkara yang berbeza! Mengikut amalan sunnah ,dalam pembahagian daging korban ialah satu pertiga untuk diri dan keluarga, satu pertiga untuk jiran tetangga manakala satu pertiga untuk golongan fakir dan miskin.Tetapi jika disedekahkan semuanya kepada orang lain, itu lebih baik dan sempurna. Bagaimanapun, digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarga sebagai tabarruk. Pengumuman (e) boleh la diterima, tetapi cara pak imam bagitau tu macam la acara sembelih lembu itu lebih penting dari solat hari raya, waktu musim hujan ni, kalau buat awal-awal sangat solat tu, nanti ada yang tak sempat solat, maklumlah orang kampung bukannya semua ada kereta, ada yang pergi masjid naik motor atau jalan kaki. Mungkin ramai yang tak tahu , bahawa Allah mensyariatkan waktu untuk melakukan ibadat korban ialah selepas solat hari raya pada 10 Zulhijjah. Ia juga boleh dilakukan pada tiga hari selepasnya iaitu hari yang dinamakan sebagai hari tasyrik.Jadi sembelihan korban tu boleh juga dibuat sebelah petang raya , tak semestinya di waktu pagi selepas solat hari raya! 3) Khutbah Jumaat Teks khutbah biasanya disediakan oleh majlis agama daerah atau negeri, tetapi ada khatib yang buat khutbah sendiri dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk berpolitik. Sepatutnya khutbah itu perlulah di teliti dan mestilah mempunyai mesej atau perkara yang penting-penting sahaja buat umat islam, kerana tidak mudah untuk mengumpulkan ramai orang atau lebih tepat lagi untuk kumpulkan dua orang yang bermazhab politik yang berlainan dalam satu tempat ibadat! Adalah amat menyedihkan dan malang bila ada khatib yang mengulang bacaan teks yang sama banyak kali dalam setahun. *Hari Jumaat mahu atau tidak mahu, seluruh umat islam WAJIB menunaikan Solat Jumaat dan mendengar Khutbahnya ! Jabatan agama perlu fikir secara sistematik dalam satu tahun itu ada lebih kurang 48 kali khutbah, iaitu 4 kali seminggu.Banyak juga perkara penting boleh disampaikan tu.Jika pihak terlibat menganjurkan seminar atau kursus kepada khatib-khatib , dari segi isi , penyampaian dan objektif khutbah adalah lebih baik kerana ada khatib yang membaca khutbah dengan suara yang perlahan, teks khutbah yang panjang lebar dan memakan masa yang agak lama sehingga menimbulkan rasa boring dan mengantuk jemaah. Fikir-fikirkanlah. *Perlukah seorang Khatib menghadiri seminar atau kursus seperti ini? Bertambah malang lagi bila ada di antara kita yang terlalu khusyuk mendengar bacaan khutbah hinggakan berdengkur dengkur atau termeleleh air liurnya! Lebih menyedihkan lagi bila mereka ini bangkit tanpa memperbaharui wudhuk dengan mata yang merah menyala lalu terus sembahyang.Memang ada ketikanya wudhuk itu dikatakan tidak batal seperti terlelap sekejap tanpa berganjak tempat letak punggung atau kedudukan kita tanpa bersandar , tapi yakinkah kita sepenuhnya yang wudhuk kita itu tidak batal? *Mungkinkah kita juga termasuk dalam kategori ini? Sabda Nabi Saw dalam satu hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah bermaksud : “Siapa yang tidur maka hendaklah dia berwudhuk” Namun para ulama mengatakan bahawa tidak semua bentuk tidur akan membatalkan wudhuk.Tidur yang membatalkan wudhuk adalah tidur yang membuat hilangnya kesedaran seseorang. Termasuk juga tidur dengan berbaring atau bersandar pada dinding. Sedangkan tidur sambil duduk yang tidak bersandar kecuali pada tubuhnya sendiri, tidak termasuk yang membatalkan wudhuk. * Terlalu khusyuk atau terlalu serius memikirkannya!mungkinkah mereka SIS??? Ramai juga yang mengangkat tangan berdoa ketika khatib berdoa pada khutbah yang kedua, padahal doa itu termasuk dalam rukun khutbah khatib tersebut.Maksudnya kalau kita tak angkat tangan menadah doa pun tak apa, tapi ramai yang tak tahu, lebih sedih lagi bila kita ikut-ikut orang je! Ada yang sebut amin-amin kuat kuat pun ada, sampai mengganggu orang sebelah. Sebaliknya pula tidak ramai yang membaca doa ketika antara dua khutbah jumaat itu dan menunggu Tok siak membaca doa dan kita pun terus mengaminkannya, padahal ramai yang tidak tahu itulah saatnya doa kita kepada Allah swt sangat mustajab! Minta lah apa saja waktu itu, jangan tunggu tok siak yang mendoakan untuk kita! Satu perkara lagi ialah tabung bertayar masjid biasanya berjalan di waktu Khatib membaca khutbah dari satu saf ke satu saf.Perlukah benda ini berlaku? Sepatutnya tabung tu letak saja kat tengah masjid atau tempat pintu keluar atau pintu masuk masjid. Siapa yang mahu bagi derma tu masukkanlah senyap-senyap , tak payah nak tunjuk-tunjuk sedekah kita, bagi tangan kanan, biar tangan kiri pun tak tahu. * Tabung bertayar yang sentiasa bergerak diwaktu kita sedang mendengar khutbah! Ada juga yang sanggup memegang lama-lama tabung berjalan itu demi untuk memperlihatkan kepada orang lain bahawa dia telah bagi duit banyak, ada juga yang sengaja sediakan duit syiling banyak-banyak supaya nampak tangan tu masukkan banyak-banyak kali, kalau waktu masukkan duit tu , ia mengeluarkan bunyi kuat syiling jatuh, ia memberikan satu kepuasan kepada penderma itu!!! Ia jadi satu irama yang unik, toing-toing-toing… , orang sebelah pasti jealous punya! Yang melucukan lagi ialah ada yang bagi duit besar Rm10 atau RM50 ,lepas tu sanggup menyeluk tabung dan mengira balik baki lagi Rm9 atau baki lagi RM49, padahal dia nak bagi RM 1 je! Gaya dia kira duit dan mimik muka tu macam cashier kat pasar raya kira duit je!!! Semua orang nampak! Minggu depan, solat jumaat dia akan buat lagi! Mungkin duit besar lagi! Kesian mereka… duit habis pahalanya entah kan dapat entahkan tidak! 4) Sembahyang. Rasanya ramai yang masih tidak tahu rukun sembahyang ada 13 rukun.Berkaitan rukun ini , banyak perkara kita boleh bincang tapi cukuplah saya katakan setakat itu saja.Kalau mahu tahu lebih kenalah baca kitab dan bergurulah dengan orang yang tahu.Kitab Munyatul Musolli karangan Sheikh Daud Al fathani, contohnya adalah sebuah kitab yang sangat baik dan menjadi rujukan umat islam sejak ratusan tahun lampau hingga kini.Oleh itu marilah kita sama-sama belajar. Ramai juga yang tidak tahu Fardhu Jumaat itu ada khutbah dan solatnya.Itu sebabnya bila khatib sedang membaca khutbah, ramai yang berbual-bual dan lebih malang lagi ada yang sedang menghabiskan sebatang rokok sambil duduk bertenggek di atas motosikal sambil berbual-bual.Sedih saya melihatnya, tapi apakan daya, tidak ada orang yang menegurnya.Anak-anak kecil pula tidak ditegur oleh bapa mereka atau orang dewasa sedang membuat bising di saf belakang sewaktu khatib sedang membaca khutbah. Ada juga orang , walaupun khatib sedang baca khutbah, dia baru sampai atau memang selalu datang lewat ,sengaja masuk dan terus solat, tak tahulah solat itu solat Tahiyyatul Masjid atau solat sunat sebelum solat jumaat(solat Qabliah jumaat), kadang-kadang solat tengah-tengah masjid dan semua mata tertumpu kepadanya, ada yang geram dan ada yang rasa dia sengaja nak menunjuk-nunjuk.Terpulanglah pada orang tersebut, kalau dia ikhlas dan khusyuk, dia dapat pahala atau sebaliknya kalau sengaja nak menunjuk-nunjuk, dia dapat letih je! Bagaimana dengan solat Qabliah sebelum solat jumaat itu? Waktu zaman Nabi dulu ada tak? Tapi tak ramai pula yang sembahyang sunat 2 rakaat lepas solat jumaat tu, padahal itu lebih afdal pahalanya dari solat sunat sebelum solat jumaat! Mengapa jadi begitu? Tanyalah diri kita sendiri, kita sembahyang kerana siapa sebenarnya? Tok imam pun satu hal (tak semua), pada waktu solat itulah dia mahu membaca surah-surah yang panjang lebar dan berlagu-lagu.Entahlah dia ikhlas atau tidak.Sepatutnya baca surah-surah yang pendek bila sembahyang berjemaah ni, sebab untuk menjaga fokus makmum.Mungkin ada yang lapar nasi, ada yang sedang menahan rasa nak buang air besar atau ada yang parking kereta atas jalan, ada yang mempunyai urusan penting dan bagi musafir pula, fikirkan anak-anak kecil bersama isteri yang sedang menunggu di dalam kereta.Ingat, kualiti solat itu penting, Lain lah bila kita sembahyang sorang-sorang kat rumah , kita nak khatam satu juz setiap rakaat pun tak kisah la! Begitu pula lepas solat, ada imam yang bertahlil lama-lama dan doa panjang-panjang hinggakan makmum lari balik lepas sorang sorang! Bukan maksud saya disini untuk mengajak anda semua melakukan ibadat secara ringkas atau cincai-cincai je, tidak, tapi apa yang ingin saya sampaikan ialah demi menjaga keikhlasan amalan kita itu agar setiap ibadat kita ada rohnya! Ada kualitinya, barulah kita dapat mengecap manisnya iman itu! Mungkin boleh kita perhatikan antara dua jenis manusia ini, satunya datang awal ke masjid dan lewat pulangnya setelah melakukan pelbagai-bagai amalan sunat, dan seorang lagi datang paling lewat di masjid, kadang-kadang Pak Imam dah nak masuk rakaat ke-2, tapi waktu pulangnya….. zupppp…. Cepat je… tak sempat saudara sebelah kita bagi salamke-2, atau toleh muka kita, kita dah belah !!! Kajilah diri kita, kerana muhasabah diri sendiri itu lebih baik dan fikir-fikirkanlah dipihak mana agaknya kita berada di antara dua pihak yang saya sebutkan diatas? Rasanya cukuplah dulu untuk kali ini.Maafkan saya jika ada yang berkecil hati dengan artikel saya kali ini.Kalau ikutkan hati, banyak lagi perkara yang saya nak sebut disini, tapi rasanya cukuplah dulu ya! Jika saya silap tolong tegur dan ajar saya. *Kitalah yang bertanggungjawab mengajar dan mencorakkan mereka! melentur buluh biarlah dari rebungnya! *Kepada semua yang bergelar ibu-bapa, Tolong berikan masa dan perhatian sepenuhnya kepada mereka ini! mereka perlukan kasih sayang dan tunjuk-ajar secukupnya dari kita.Jangan biarkan mereka hanyut dan membesar, hidup tanpa arah dan pengisian ilmu dunia dan akhirat.Kita Pasti akan disoal oleh Allah swt di akhirat nanti tentang Hak-Hak mereka yang telah kita abaikan! Sebagai penutupnya, saya cadangkan Pihak Kerajaan Malaysia menghormati Hari Jumaat sewajarnya dan jadikanlah hari jumaat Hari cuti seluruh negara, bukannya hari Ahad seperti negeri-negeri lain yang sudah melaksanakannya.Hari Ahad bukan penghulu sekalian hari bagi orang islam!!! Jika cuti hari Jumaat, maka umat islam di negara ini akan menjadi lebih tenang dan mempunyai masa yang cukup untuk melebihkan sedikit amalan mereka pada hari tersebut.Mereka juga mempunyai peluang untuk membawa anak-anak kecil mereka ke Masjid bersama! Wassalam.
Posted on: Thu, 17 Oct 2013 23:27:15 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015